Lupakan King Kazu, Ini Pemain Pemain Bola Sepak Profesional Tertua Di Dunia

pemain bola sepak profesional

Ezzeldin Bahader yang beraksi bersama pasukan October 6 yang merupakan kelab divisyen tiga Mesir berjaya meletakkan namanya dalam Rekod Dunia Guinness [Guinness World Records] apabila bergelar pemain bola sepak profesional tertua di dunia.

Pemain berusia 74 tahun itu sebenarnya berpeluang untuk mencipta rekod tersebut pada 21 Mac lalu, namun serangan wabak COVID-19 yang memaksa saingan liga di negara benua Afrika Utara itu terpaksa dihentikan buat seketika sekali gus membantutkan usahanya.

Ini kerana pihak Rekod Dunia Guinness menetapkan bahawa Bahader perlu untuk beraksi sepenuh masa pada dua perlawanan sebelum beliau layak diberikan penghormatan tersebut.

Bahader menikmati penampilan sulung pada Mac lalu di mana beliau turut berjaya menyempurnakan sepakan penalti sebelum aktiviti bola sepak di Mesir terpaksa dihentikan, sama seperti hampir keseluruhan negara di dunia berikutan wabak tersebut.

Dikurniakan empat orang anak dan turut mempunyai enam cucu, Bahader akhirnya merealisasikan impian tersebut apabila berjaya melengkapkan 90 minit perlawanan pada Sabtu lalu yang mana menyaksikan pasukannya tewas 2-3 di tangan El Ayat Sport Club.  Bahader bagaimanapun sedikit hampa setelah beliau gagal menyudahkan seperti penalti yang diperoleh pasukannya.

Detik bersejarah buat Bahader itu turut disaksikan anak-anak serta cucunya yang turut sama memberikan sokongan moral pada perlawanan istimewa tersebut. Dikhabarkan Bahader akan menjengah usia 75 tahun pada 3 November ini.

”Saya bermimpi dapat memecahkan rekod saya sendiri sekali lagi, ia hanya untuk menjadikan persaingan semakin sukar,” ujar Ezzeldin Bahader menurut laporan Goal.

Rekod pemain profesional tertua sebelum ini dipegang oleh pemain Israel, Isaac Hayik yang pada ketika itu berusia 73 tahun 95 hari.

Kredit featured image: KingFut.com Twitter

 

 

 

 

Leave a Reply