Pemain tengah SS Lazio, Lucas Leiva mengakui bahawa beliau tidak menyesal meninggalkan Liverpool selepas setia bersama kelab tersebut selama 10 tahun sebelum memilih untuk berhijrah ke Itali.
Pemain kelahiran Dourados, Brazil itu mula menyarung jersi Liverpool ketika jendela perpindahan musim panas 2007/08 dan memilih untuk meninggalkan Anfield pada 18 Julai 2017 selepas melakukan 346 penampilan bersama The Reds dalam semua kejohanan.
Sebaik sahaja Lucas melangkah pergi dari kelab Merseyside tersebut, Liverpool telah menikmati transisi sebagai salah sebuah pasukan yang semakin meningkat.
Ia dibuktikan apabila skuad bimbingan Jurgen Klopp itu melayakkan diri ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bagi dua musim berturut-turut termasuk menjuarai saingan 2018/19 serta semakin hampir untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris 2019/20.
Lucas bagaimanapun berpendapat beliau tidak menyesal meninggalkan kelab tersebut meskipun Liverpool pada ketika ini sedang di puncak kecemerlangan mereka.
”Pada tahun saya meninggalkan pasukan, mereka tewas pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah. Saya berjumpa dengan mereka [para pemain Liverpool] di Rome [aksi separuh akhir bertemu AS Roma]. Tetapi, sudah pasti, sejujurnya saya sangat gembira dengan kemenangan itu.”
”Anak saya, keluarga saya, kami semua merupakan penyokong Liverpool pada ketika ini,” ujar Lucas menurut laporan dikeluarkan Goal.
”Ia merupakan pencapaian yang sangat hebat dan saya amat gembira kerana saya masih berhubung dengan ramai orang di sana dan masih mengambil berat antara satu sama lain.”
”Sudah tentu, anda akan berfikir,’ Jika saya menunggu setahun lagi…’ tetapi, sejujurnya, saya tidak gembira [untuk terus menunggu].”
”Apabila anda tidak gembira, sejujurnya ia tidak masuk akal. Lebih baik saya melihat Liverpool memenanginya.”
”Sebagai seorang penyokong, sudah tentu saya sangat gembira. Sudah tentu saya ingin memenanginya tetapi saya boleh menikmatinya sebagai penyokong,” ujar Lucas lagi.