‘Tiga Meter Pun Boleh’ – Selangor Sudah Mula Rangka Program Latihan

Selangor Pusat Latihan 2020

“Bukan hanya satu meter [penjarakan sosial], tiga meter pun boleh,” kata pengendali, B. Satiananthan mengenai khabar Selangor akan kembali memulakan sesi latihan.

Ia merujuk kepada perkhabaran yang Selangor sudah mula membuat persediaan untuk menempuhi saingan Liga Super 2020 yang dijangka akan bersambung semula pada September depan. Liga Malaysia sudah tertangguh sejak 18 Mac yang lalu.

Mereka menjangkakan latihan sudah boleh bermula pada bulan hadapan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang bakal dikeluarkan oleh penganjur liga, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), sebagaimana arahan oleh kerajaan.

Pengendali berusia 62 tahun itu mengesahkan kepada Berita Harian bahawa pihaknya sudah merangka program untuk para pemain sebaik sahaja sesi latihan dibenarkan semula antaranya memecahkan semua pemain kepada tiga kumpulan latihan.

“Setiap kumpulan mungkin akan membabitkan 10 orang pemain sahaja. Kita sudah maklumkan kepada pemain mengenai bentuk program, latihan dan sebagainya.

“Kita akan mula dalam seminggu, tiga atau empat kali [latihan]. Bila masuk Julai kita buat lebih sedikit, maknanya jika diputuskan liga boleh diteruskan [disambung semula] seperti biasa, pemain sudah ada latihan,” jelas Satinanthan lagi mengenainya.

Satinanthan turut memaklumkan yang perbincangan bersama pengurusan Selangor juga sudah berlaku dengan pusat latihan Gergasi Merah memiliki dua padang latihan.

“Saya sudah bincang dengan pengurusan. Pusat latihan kita ada dua padang, jadi kita boleh gunakan kawasan yang luas. Bukan hanya satu meter [penjarakan sosial], tiga meter pun boleh,” tambah bekas pengendali skuad kebangsaan itu lagi.

Sementara itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Istana Selangor telah bertitah yang kejohanan Piala Sultan Selangor pada tahun ini dibatalkan ekoran pandemik COVID-19 ketika ini.

Dalam edisi ke-18 pada tahun lepas, Selangor berjaya menewaskan lawan mereka itu dengan keputusan 1-0 hasil jaringan penyerang sensasi, Ifedayo Olesegun.

KREDIT FEATURED IMAGE: FA SELANGOR

Baca lagi artikel lain mengenai Selangor:

Leave a Reply