Lothar Matthaus adalah pemain yang dikurniakan dengan bakat, kecergasan dan kecerdasan di dalam padang.
Andai kata anda menyertai satu rancangan kuiz bernilai RM1 juta dan soalannya berbunyi begini:
“Namakan 5 pemain bola sepak lagenda Jerman”.
Siapapun anda, pasti dengan yakin akan menjawab soalan ini dengan mudah, sekaligus bergelar jutawan sekelip mata walau buta bola sepak sekalipun.
German adalah sebuah negara bola sepak yang hebat. 18 penampilan di pusingan akhir Piala Dunia, empat kali juara dunia.
Tiga kali bergelar juara Eropah di dalam Kejohanan Euro, pasukan Jerman telah melahirkan ramai bakat bola sepak yang luar biasa.
Tidak sukar menjawab soalan kuiz berkenaan. Franz Beckenbauer, Gerd Muller, Rudi Voller, Juergen Klinsmann, Thomas Muller, Miroslav Klose, Michael Ballack dan ramai lagi. Tapi anda gila jika abaikan pemain ini.
Lothar Matthaus.
Pemain ini mungkin kurang didendangkan kerana gahnya lagenda magis bola sepak dunia dari Argentina era itu, Diego Maradona.
Secara teorinya, memang posisi seperti beliau kerap menjadi topik perbualan kedua ataupun ke-3.
Lothar Matthaus adalah seorang pemain bola sepak yang versatile. Kepakaran beliau sebagai “box to box midfielder” ketika mengemudi jentera tengah pasukan.
Beliau juga beraksi di posisi “sweeper” ketika kareer beliau menghampiri penghujung.
Aksi beliau mengekang Maradona pada perlawanan akhir Piala Dunia 1986, pasti menjadi ingatan ramai pada masa itu.
Dipilih sebagai Pemain Terbaik Dunia FIFA edisi pertama pada tahun 1991, beliau beraksi dalam lima edisi Piala Dunia dari tahun 1982 sehingga 1998.
Ianya rekod penampilan dalam edisi pusingan akhir Piala Dunia terbanyak, dikongsi bersama penjaga gol Mexico, Antonio Carbajal sebanyak 5 edisi.
Bersama dengan Gianluigi Buffon, Matthaus juga adalah pemain yang paling banyak membuat penampilan di dalam Piala Dunia dengan rekod 25 perlawanan keseluruhan.
Sehingga ke hari ini, beliau adalah pemain Jerman dengan penampilan tertinggi sebanyak 150 caps, menjaringkan 23 gol di peringkat antarabangsa.
Setelah hanya mampu berpuas hati meraih naib juara pada dua edisi sebelumnya, Lothar Matthaus menjadi kapten yang mengemudi Jerman Barat menjulang Piala Dunia 1990 di Itali menewaskan Argentina 1-0.
Setelah Jerman Barat dan Jerman Timur digabungkan pada 1990, negara berkenaan membuat penampilan pertama sebagai sebuah pasukan di Piala Dunia 1994 dan Piala Dunia 1998.
Penampilan Matthaus pada lewat usia di Perancis sebagai pengganti saat akhir kepada Matthias Sammer yang tercedera mengejutkan ramai pemerhati bola sepak.
Setelah tersingkir di peringkat suku akhir, Lothar Matthaus membuat penampilan terakhir bersama pasukan kebangsaan Jerman menentang Portugal di dalam Kejohanaan Euro 2000 yang mengecewakan.
Arena kelab
Di peringkat kelab, Lothar Matthaus memulakan kareer profesional beliau bersama Borussia Monchengladbach sebelum menyertai gergasi Jerman, Bayern Munich pada musim 1984/85.
Setelah mengubah angin ke Itali bersama Inter Milan pada musim 1988/89, beliau terus meraih kejayaan demi kejayaan.
Beliau kembali bersama Bayern pada tahun 1992 dan menamatkan kareer beliau di MLS, bersama kelab Metrostar pada tahun 2000 ketika berusia 39 tahun.
Lothar Matthaus telah memenangi kesemua kejuaraan dan kejayaan peringkat individu, kelab dan antarabangsa.
Tetapi beliau terus kempunan untuk menjulang UEFA Champions League setelah tewas dua kali di peringkat final bersama Bayern Munich.
Lothar Matthaus tidak ke podium untuk menerima pingat naib juara UCL, selepas kecewa tewas kepada Man Utd 1-2 di Barcelona pada musim 1998-99.
Atas sumbangan beliau kepada bola sepak Jerman, Lothar Matthaus turut dianugerahkan Pingat Bavarian Order of Merit pada tahun 2001 oleh kerajaan Jerman.
Tidak dapat dinafikan nama Lothar Matthaus adalah antara pemain yang paling berjaya di dalam lipatan sejarah bola sepak Jerman.
Nama beliau mungkin tidak sehebat Pele dan Maradona maupun Messi dan Cristiano Ronaldo.
Bagi peminat sukan bola sepak yang membesar pada era kegemilangan beliau, sudah pasti kelibat gah seorang jeneral perang seperti Lothar Matthaus pernah menjadi ikutan dana kekal sebagai ingatan.
Hari ini Lothar Mathaus sering dijemput untuk menjadi pundit dan panelis syarikat-syarikat penyiaran sukan seluruh dunia.
Beliau juga adalah seorang penulis sukan bola sepak yang hebat dengan tulisan di kolumnis majalah sukan Sportbild.
Siapa tahu satu hari nanti, Lothar Matthaus turut menjadi seorang kolumnis di SemuanyaBOLA???
Senarai pencapaian Lothar Matthaus:
Borussia Mönchengladbach
- UEFA Cup runner-up: 1979–80
- DFB-Pokal runner-up: 1983–84
FC Bayern Munich
- Bundesliga: 1984–85, 1985–86, 1986–87, 1993–94, 1996–97, 1998–99, 1999–2000
- DFB-Pokal: 1985–86, 1997–98, 1999–2000
- DFB-Supercup: 1987
- Fuji-Cup: 1987, 1988, 1994, 1995
- UEFA Cup: 1995–96
- DFB-Ligapokal: 1997, 1998, 1999
- UEFA Champions League Runner-up: 1986–87, 1998–99
Internazionale
* Serie A: 1988–89
* Supercoppa Italiana: 1989
* UEFA Cup: 1990–91
MetroStars
* MLS Eastern Division Champion: 2000
Antarabangsa
Jerman
- UEFA European Football Championship: 1980
- FIFA World Cup: 1990; runner-up: 1982, 1986
- U.S. Cup: 1993
Beliau juga pemenang 1 Ballon d’Or dan 1 Pemain Terbaik FIFA serta banyak lagi peghargaan individu.
Itulah Maestro Lothar Mathhaus.
Baca juga: Ini Yang Anda Dapat Apabila Menonton Perlawanan Ligue 1 Dari VIP Box Stadium Bordeaux