Perak FC telah memperkenalkan logo baharu untuk saingan Liga Malaysia musim hadapan, mengetengahkan konsep, ‘A new chapter begins, but the history remains.’
Tetapi tidak dapat dipastikan di mana sejarah yang dikekalkan seperti yang disebut itu. Yang dapat dilihat, sebuah logo yang ringkas dengan gambaran seekor seladang dan tulisan Perak FC berlatar warna hitam dan kuning. Ya, ia satu rentetan perubahan yang dibuat sebelum ini iaitu menukar nama pasukan Perak The Bos Gaurus.
Tidak seperti diharapkan, reaksi penyokong majoritinya negatif. Rata-rata tidak berpuas hati dengan logo tersebut, malah ada yang menggesa agar pihak pengurusan kembali menggunakan logo lama. Bagi mereka, ianya jauh lebih baik daripada yang baharu.
A new chapter begins, but the history remains.
Legends reborn. The legacy continues.
This is Perak Football Club.#PerakFC#KejorrYobKejorr#KejorrYobSkorr pic.twitter.com/b2pilcJ2u6
— Perak FC (@peraktbgmy) February 1, 2021
Reaksi penyokong The Bos Gaurus
Antara ciapan di Twitter daripada pengguna dengan nama @bewakkkk, “Bajang. Buruk gila. Siape le yang design dan siapa le tukang lulus. Udoh ghope orang takde pedoman. Tumpo chor kalau ghope ni logo pasokan kesayangan kita. Mane awok nak letak muka.”
“100 tahun penubuhan. Penyokong berharap disajikan kegemilangan namun berakhir dengan tragedi. Sudah-sudahlah PAFA. Berikanlah hak pemilikan kepada pihak berminat dan layak. Pisahkanlah bola sepak dari politik. Penyokong masih bersabar. Jangan kejut harimau yang sedang tidur,” titip penyokong, @luqmanhakimsani.
Bagi @F_RSaid, ciapannya berbunyi, “Ni bukan new chapter. Mana ada legends reborn? Legasi pun lain. Yang ni takde kena mengena dengan team 1921 tu. Yang ni team Est 2021. Jangan kaitkan dengan yang Est 1921 tu. Jangan samakan. Malu aku. Pergi buat acc twitter baru. Pafa 1921 dah mati kena bunuh dengan lembu bodoh tadi.
Majoriti ciapan penuh dengan reaksi tidak enak. Benar, para penyokong mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang telah diumumkan itu.
Susah betul design tu pic.twitter.com/xzYytQwk5c
— gjeto 🪬 (@gjetzulfadhli) February 1, 2021
Sekarang, nak buat ‘U-Turn’ tak?
Adakah Perak FC akan menarik balik logo yang sudah diperkenalkan kepada umum itu? Jika langkah itu dibuat, itu akan sekali lagi memperlihatkan kelemahan mereka dari segi pengurusan pasukan. Kenapa mereka tidak mempertahankan logo itu?
Pengurusan Perak FC yang mereka cipta logo tersebut dan dengan penuh keyakinan mereka membuat promo mengenainya di media sosial. Takkan disebabkan pandangan negatif, mereka akan membuat ‘u-turn’? Ia tampak seperti mereka tidak teguh dengan keputusan yang dibuat dan gagal mempertahankan tindakan yang dibuat.
Adakah Perak FC akan mengikut jejak beberapa pasukan yang tunduk kepada desakan penyokong seperti Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Sabah FC? Atau mereka akan berpegang kepada keputusan yang dibuat seperti Melaka United dan Penang FC?
Kedah dan Sabah akhirnya membuat peraduan mencipta logo kepada para penyokong, sebagaimana Sri Pahang FC yang awal-awal lagi membuka peluang kepada para penyokong mencipta logo yang mereka mahukan. Ya, timbul pelbagai kisah lagi seperti cara pemilihan pemenang dan sebagainya, namun, mereka telah memberi peluang.
Pertandingan Cipta Logo: Kedah FA Sifatkan Banyak 'Joy Participant' https://t.co/jdFZr41EID pic.twitter.com/Avp6L2xsCo
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) October 30, 2020
Kes di Kedah, Sri Pahang, Melaka United dan Penang FC
Untuk Kedah, logo yang akhirnya dipilih bukanlah dikalangan ‘top 3’ yang telah diundi. Secara tiba-tiba pihak pengurusan memilih salah satu logo daripada ratusan yang telah disenarai pendek, namun tidak tersenarai langsung dalam tiga pilihan terakhir.
Untuk Sri Pahang pula, logo yang digunakan kini bukanlah yang telah memenangi undian para penyokong. Untuk Sabah, boleh dikatakan ramai berpuas hati dengan logo yang akhirnya dipilih sebagai logo rasmi mereka untuk saingan Liga Super 2021.
Seperti Perak, Melaka United juga dikatakan menggunakan gambar yang diambil daripada carian di google image dan mungkin diciplak daripada logo kelab lain iaitu Banstead Rovers dan Austin FC selain sebuah syarikat, Bare Blends dari Australia.
Penang FC juga dikatakan menggunakan cara yang sama, malah logo mereka hampir sama dengan sebuah kelab amatur di Lembah Klang iaitu Klasiko FC.
Penang feeder team Klasiko rupanya. pic.twitter.com/c36hbtnqkT
— HermyR (@HermyRahim) November 25, 2020
Penutup
Jika rekaan logo pun sudah sebegini rumit caranya, bagaimana pula mereka mahu mentadbir kelab tersebut nanti? Benda yang mudah, dirumitkan. Adakah ini yang DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim katakan bukan penswastaan sebenar?
Jelas, isu ini sepatutnya selesai dengan lebih mudah. Lantik sahaja syarikat yang sepatutnya untuk mereka bentuk logo dan tentunya akan melibatkan sedikit kos. Logo-logo sebegini mungkin tidak akan muncul dan merosakkan segala yang ada.
Dan jika membuat pertandingan, mestilah dijelaskan segala peraturan dan pihak pengurusan juga haruslah mengikut peraturan yang telah ditetapkan itu. Jangan logo lain yang menang undian, logo lain pula yang diangkat sebagai pemenang.
Oleh itu, apa tindakan Perak FC kini? Selepas logo tersebut diperkenalkan kepada umum, mereka mendiamkan diri. Tidak pasti sama ada mereka tersentak dengan kecaman penyokong atau tidak. Jadi, adakah mereka akan membuat ‘U-Turn’?
KREDIT FEATURED IMAGE: PERAK FC
Baca lagi artikel lain mengenai Perak FC:
Belum Rasmi Jadi Penaja Perak, Kenapa Abstrax Max Cetak 2,000 Helai Jersi?
NOSTALGIA: Kisah 14 Perlawanan ‘Away’ Perit Yang Perlu Dihadapi Perak