Belum Rasmi Jadi Penaja Perak, Kenapa Abstrax Max Cetak 2,000 Helai Jersi?

Abstrax Max Pelitup Muka Perak 2021

Antara isu menarik yang berlaku dalam arena bola sepak tempatan minggu ini adalah kisah ‘perjanjian lisan’ antara Abstrax Max dengan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA).

Abstrax Max adalah antara senarai akhir penajaan jersi bagi skuad Liga Super, Perak FC bagi musim 2021. Mereka merupakan syarikat tempatan yang menghasilkan pakaian sukan dan bekerjasama dengan PAFA dalam penghasilan pelitup muka.

Abstrax Max gagal dalam bidaan taja jersi

Disebabkan kerjasama yang pernah terjalin dan hasrat Perak mahu menggunakan jersi ‘buatan tempatan’ untuk saingan musim depan, Abstrax Max nampak peluang terbuka untuk turut sama membida bagi menaja jersi pasukan bagi musim hadapan.

Dan menurut posting mereka tentang kegagalan menaja, Abstrax Max adalah antara 13 calon akhir. Menurut maklumat yang Semuanya BOLA perolehi, mereka juga antara tiga syarikat yang berjaya hingga ke senarai akhir sebelum keputusan dibuat.

Begitupun, dalam pendedahan yang dibuat oleh Abstrax Max, akhirnya mereka gagal dalam bidaan untuk menaja jersi Perak apabila dimaklumkan, pihak pengurusan The Bos Gaurus telah memilih jenama lain. Ia bermula dengan pergolakan politik.

Dedah mereka selepas diajukan persoalan mengenai penajaan jersi Perak, “Sebenarnya Abstrax Max telah terpilih untuk menaja Perak FC dan ia dimaklumkan secara lisan oleh SU [Setiausaha] PAFA dan diminta untuk membuat surat perjanjian penajaan.”

“Tetapi, oleh kerana pergolakan politik di Perak dan peletakan jawatan MB [Menteri Besar] Perak pada waktu itu, kerjasama kami tertangguh dan akhirnya kami dimaklumkan PAFA telah memilih jenama lain. Tidak mengapa, kami anggap bukan rezeki kami tahun ini,” ulas panjang lebar Abstrax Max mengenainya lagi.

Sudah cetak 2000 helai jersi

Paling ‘menyedihkan’ adalah apabila mereka memaklumkan, pihak Abstrax Max telah pun mencetak 2000 helai jersi selepas persetujuan lisan bersama SU PAFA. Sedih tetapi sedikit janggal apabila mereka telah mencetak dalam jumlah sebegitu banyak.

Menurut mereka lagi berkenaan reka bentuk jersi tersebut, “Untuk pengetahuan semua, kami telah pun menghasilkan ‘templete’ jersi ‘player issue’ Perak FC menggunakan ‘fabric’ yang hampir sama dengan dengan ‘fabric’ third kit Manchester United.”

Tambah Abstrax Max lagi, itu merupakan permintaan daripada Setiausaha dan Presiden PAFA. Mereka akhirnya melemparkan persoalan apa yang harus mereka lakukan dengan ‘templete’ tersebut, sama ada jual sahaja atau taja pasukan lain?

Sementara itu, bercakap kepada Utusan Malaysia, pengurus pasukan, Datuk Adly Shah Ahmad Tah sebelum itu ada menjelaskan mengenai mengapa mereka memilih untuk menggunakan jenama tempatan. Ia dikatakan kerana mahu membantu ahli peniagaan dan usahawan tempatan yang majoritinya terjejas akibat penularan COVID-19.

Turut dimaklumkan identiti penaja jersi mereka musim depan iaitu Kaki Jersi (KJ) yang turut menaja jersi Negeri Sembilan FC. Katanya, “Kita sedar produk tempatan juga bermutu, jadi kita mahu bantu perkenalkan produk produk orang kita. Kita bagi peluang kepada pengusaha tempatan untuk memperkenalkan barangan mereka.”

‘Silap kami buat kerja terlalu awal’

Menjadi persoalan kini, mengapa mereka telah mencetak sehingga 2000 helai jersi sedangkan ia hanya persetujuan lisan sahaja? Abstrax Max juga sedia maklum mereka salah satu daripada tiga syarikat yang disenarai akhir, bukannya sudah terpilih.

Ini jawapan mereka untuk perkara itu, “Silap kami kerana membuat kerja terlalu awal. Kami anggap sahaja bukan rezeki kami. InsyaAllah, jika diberi peluang, kami bersedia untuk bekerjasama kembali dengan Perak FC atau mana-mana pasukan.”

Abstrax Max turut mendedahkan ‘gambaran’ templete yang menurut mereka ‘mungkin’ satu-satunya yang digunakan di Malaysia. Ujar mereka, “Templete ini pula kami design dari socks sampai ke jersi. Dia synchronise design socks dengan jersi.”

Apa yang dilakukan oleh Setiausaha PAFA mungkin boleh dianggap dalam undang-undang sebagai ‘Invitations to treat’, yang mana jika Abstrax Max bersetuju dan diterima oleh PAFA, barulah mereka akan mula menandatangani kontrak.

Jadi, sebagaimana yang dikatakan oleh Abstrax Max, mereka menerima keputusan tersebut dan menganggap ianya bukan rezeki mereka. Untuk 2000 helai jersi yang telah dicetak itu, diharapkan akan ada jalan penyelesaian buat mereka.

KREDIT FEATURED IMAGE: ABSTRAX MAX

Baca lagi artikel lain mengenai Perak FC:

Jenama Tempatan Jadi Pilihan Perak FC Hadapi Musim 2021

3 Sebab Perak Boleh Dikatakan Bertuah Dapat ‘Rampas’ Azri Ghani

RASMI: Penantian ‘Yob-Yong’ Berakhir, Shakir Hamzah Sah Sertai Perak

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN