Liverpool dikalahkan Wolverhampton Wanderers dalam aksi pusingan keempat FA Cup di Anfield.
Kekalahan ini ibarat menambah garam ke luka Liverpool yang cuma mampu menang 1 perlawanan dari kesemua perlawanan yang dilangsungkan sepanjang Januari.
Pasukan kedua terbaik
Liverpool dikalahkan Wolverhampton Wanderers dalam aksi yang menyaksikan mereka bermain sebagai pasukan kedua terbaik sepanjang perlawanan.
Ini terbukti apabila Liverpool dikejutkan hasil jaringan daripada Richard Stearman, 53 saat selepas perlawanan dilangsungkan.
Ia berpunca selepas Helder Costa menghantar bola kepada Stearman yang tidak dikawal di dalam situasi bola mati.
Tandukan Stearman berjaya memberikan gol pendahuluan kepada pasukan pelawat.
Hari Liverpool semakin berserabut selepas bekas pemain Aston Villa, Andreas Weimann memberikan gol kedua untuk pasukan pelawat.
Sekali lagi berpunca dari bola hantaran Helder Costa, Weimann kemudiannya mengelecek Loris Karius untuk memberikan pendahuluan 2 gol sebelum rehat separuh masa.
Liverpool berusaha setengah mati pada separuh masa kedua untuk mencari gol dan kembali dalam perlawanan ini. Namun usaha mereka gagal apabila setiap percubaan mereka dipatahkan oleh barisan skuad Wolverhampton yang cukup berdisiplin ketika beraksi.
Mereka berjaya juga menembusi gawang pasukan pelawat menerusi Divock Origi namun gol itu terlalu lewat untuk membendung kemaraan Wolverhampton ke pusingan seterusnya.
“Saya minta maaf”
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui beliau bertanggungjawab diatas segala yang berlaku dalam perlawanan ini.
“Saya bertanggungjawab di atas apa yang berlaku. Saya sangka skuad yang saya pilih cukup bersedia untuk perlawanan hari ini namun tidak.”
“Saya boleh cari alasan untuk menutup kesilapan saya tetapi saya tak nak buat. Mungkin ini waktu terbaik untuk kami semua rasa kecewa, geram dan marah dengan apa yang terjadi. Apa-apa pun, saya minta maaf.”
Bagi pengurus Wolverhampton, Paul Lambert sangat gembira dengan kemenangan ini.
“Saya rasa kami bermain dengan baik. Kami berjaya melakukan serang balas pantas dan melakukan tekanan apabila perlu. Startegi kami berkesan hari ini!”
“Untuk masa sekarang, kami pilih untuk raikan saja kemenangan ini. Kami mungkin akan dibelasah pada pusingan seterusnya, tetapi 2 perlawanan terakhir kami di FA Cup memang hebat.”
Kesebelasan utama
Liverpool: Loris Karius (penjaga gol), Ragnar Klavan, Conor Randall, Joe Gomez, Alberto Moreno, Ovie Ejaria, Lucas Leiva (kapten), Gini Wijnaldum, Roberto Firmino, Divock Origi, Ben Woodburn
Wolverhampton Wanderers: Harry Burgoyne (penjaga gol), Conor Coady, Richard Stearman, Kortney Hause, Matt Doherty, Dave Edwards (kapten), Lee Evans, Helder Costa, Georga Saville, Nouha Dicko, Andreas Weimann
Baca juga: Giovinco Lebih Rela Ke China Daripada Jadi Budak Milo Di Barca