Quantcast

BERITA

Lionel Messi Pernah Berniat Tinggalkan Barcelona

Kapten Barcelona, Lionel Messi mendedahkan beliau pernah mempertimbangkan untuk meninggalkan kelab Catalan itu selepas disiasat di atas kes penipuan cukai pada tahun 2013.

Dalam temubual bersama agensi berita radio RAC1 yang berpangkalan di Barcelona, Messi menjelaskan beliau merasa dilayan begitu teruk oleh pihak berkuasa Sepanyol sedangkan dirinya telah berbakti di negara berkenaan sejak menyertai Barca ketika berusia 13 tahun.

Messi dan ayahnya Jorge kemudiannya didapati bersalah pada tahun 2016 di atas pertuduhan menipu kerajaan Sepanyol mengenai pendapatan yang diperoleh daripada hak cipta imej sebanyak €42 juta di antara 2007 hingga 2009.

Kredit Foto: BBC

Penjaring terbanyak Barcelona sepanjang zaman itu dijatuhkan hukuman penjara selama 21 bulan dan diarahkan untuk membayar denda sebanyak €2 juta.

Beliau bagaimanapun tidak menjalani hukuman penjara selepas bersetuju utk menukar hukuman berkenaan kepada bayaran denda sebanyak €250,000.

Undang-undang di Sepanyol menetapkan mana-mana pesalah yang dihukum penjara bawah dua tahun yang tiada rekod sabitan hukuman terdahulu, boleh memohon untuk ‘menggantung’ hukuman penjara berkenaan.

Pihak berkuasa Sepanyol memulakan siasatan kes penipuan cukai ke atas beberapa orang bintang bola sepak di Sepanyol termasuk Cristiano Ronaldo, Javier Mascherano, Alexis Sanchez dan Marcelo.

“Sejak dari itu, saya mula terfikir untuk berpindah. Bukan sebab Barca, tetapi saya mahu meninggalkan Sepanyol. Saya rasa layanan di sini sangat teruk dan saya tak mahu kekal di sini lebih lama.

“Saya sudah membuka ‘pintu’ untuk mana-mana kelab yang mahukan saya. Tetapi saya tidak pernah terima sebarang tawaran kerana semua orang tahu sebenarnya hati saya mahu kekal di sini.

Messi menambah, beliau merasakan dirinya menjadi ‘kambing hitam’ oleh pihak autoriti yang bersungguh mahu memerangi penipuan cukai selepas berlaku krisis ekonomi yang agak membimbangkan di Sepanyol.

“Saya adalah ‘mangsa’ pertama mereka. Jadi sebab itu mereka menekan saya begitu dahsyat kerana mahu membuktikan kepada orang orang ramai, siapa pun kamu, semuanya akan dilayan sama sahaja seperti ini.

“Itu adalah tempoh yang amat memeritkan buat saya.”