Quantcast

KAJIAN & FAKTA

5 Fakta Menarik Menjelang Pertemuan Malaysia Dan Vietnam

Malaysia akan bertandang ke Stadium My Dinh, Hanoi pada hari ini untuk pertemuan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bagi saingan Kumpulan G.

Seri dalam satu-satunya perlawanan yang sudah dihadapi ketika ini berhadapan Thailand pada awal September lalu, Vietnam melihat aksi menentang Malaysia sebagai perlawanan wajib menang.

Bagi skuad Harimau Malaya pula, tiga mata dari dua perlawanan yang sudah dilalui setakat ini bermakna kemenangan akan memberikan kedudukan yang lebih selesa di dalam Kumpulan G.

Berikut adalah beberapa fakta menarik mengenai sejarah pertemuan kedua-dua pasukan sebelum ini.

Rekod lampau

19 pertemuan melibatkan skuad senior kedua-dua pasukan sejak 1991. Semua perlawanan ini meliputi pelbagai pertandingan  termasuk Sukan SEA sebelum 2001 – pertandingan peringkat umur selepas itu – dan juga perlawanan persahabatan. Malaysia hanya menang 5 daripada perlawanan tersebut, dan tewas 11 kali.

Daripada lima kemenangan tersebut, Malaysia hanya pernah menewaskan Vietnam sekali di gelanggang mereka sendiri. Selebihnya dimenangi di dalam perlawanan yang diadakan di dalam negara.

Skuad 2014

Daripada 10 pertemuan terakhir membabitkan kedua-dua pasukan, Malaysia hanya menang sekali menentang Vietnam. Kemenangan tersebut adalah pada 11 Disember 2014, di separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki.

Tewas 2-1 di Kuala Lumpur, skuad kendalian Dollah Salleh menang 4-2 hasil jaringan Safiq Rahim, Norshahrul Idlan Talaha, gol sendiri Dien Thien Tanh dan Shukor Adan. Selain daripada Norshahrul, dua lagi pemain yang masih kekal bersama skuad Tan Cheng Hoe pada hari ini ialah penjaga gol, Farizal Marlias dan Khairul Azhan Khalid.

Norshahrul Idlan Talaha

Pemain yang sinonim dengan nama panggilan ‘Mat Yo’ adalah pemain paling berpengalaman dikalangan pemain dari kedua-dua kem. Secara keseluruhan, Norshahrul memiliki 44 caps bersama skuad senior Harimau Malaya, dan merekodkan 41 gol berdasarkan catatan dari laman Soccerway.

penyerang

(Photo by Stanley Chou/Getty Images)

10 daripada 44 perlawanan tersebut adalah dalam perlawanan membabitkan pertemuan dengan Vietnam. Daripada 10 perlawanan tersebut, satu-satunya jaringan oleh Norshahrul ketika berhadapan skuad Naga Emas ialah di separuh akhir Piala AFF Suzuki 2014.

Ranking FIFA

Di atas kertas, perbezaan diantara Malaysia dan Vietnam bagaikan langit dan bumi. Vietnam pada hari ini berada di kedudukan ke-99 dunia di dalam rangking FIFA. Manakala pasukan negara pula berada di kedudukan ke-158 dunia.

Kali terakhir Malaysia menewaskan pasukan yang berada di kedudukan 100 teratas di dalam senarai ranking FIFA ialah pada 24 Disember 2004. Malaysia menewaskan Indonesia 2-1 di Stadium Gelora Bung Karno di separuh akhir pertama pertandingan Piala AFF Suzuki. Malaysia berada di kedudukan ke-120 dunia pada ketika itu.

Pemain tumpuan

Selain daripada Syafiq Ahmad, media di Vietnam nampaknya turut memberikan tumpuan kepada empat pemain naturalisasi yang berada di dalam skuad Tan Cheng Hoe. Empat pemain yang dimaksudkan adalah Brendan Gan, Mohamadou Sumareh, Corbin Ong dan Matthew Davies.

Di kem Vietnam pula, skuad naga emas memiliki pemain kelahiran Rusia, Dang Van Lam di posisi penjaga gol. Skuad kendalian Park Hang-Seo turut mempunyai tiga pemain yang beraksi di luar Vietnam, dengan dua pemain beraksi di Eropah. Dua pemain yang berkelana di Eropah adalah Doan Van Hao (Heerenven SC) dan juga Nguyen Cong Phuong (Sint Truidense).

Penutup

Dari segi sejarah, Vietnam serba serbi mempunyai rekod yang lebih baik dari pasukan negara. Namun di peringkat ini, ia adalah saingan yang bersandarkan kepada momentum.

Buat masa ini, momentum positif adalah bersama pasukan negara setelah beberapa persembahan positif dalam beberapa perlawanan lalu. Sudah pasti kita mengharapkan pasukan negara pulang dengan tiga mata berharga dari Hanoi pada malam ini.

Ayuh Harimau Malaya!