Quantcast

BERITA

Kelayakan Piala Dunia 2022: Barang Yang Lepas Jangan Dikenang, Segalanya Akan Ditentukan Hari ini!

Jurulatih Vietnam, Park Hang-seo ingin melupakan sementara waktu segala rekod pertemuan di antara pasukannya dengan Malaysia dan fokus kepada perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023 yang akan berlangsung malam ini.

Vietnam sebelum ini menang dua dan seri satu dalam tiga pertemuan terakhir menentang Malaysia, termasuk kemenangan perlawanan akhir Piala AFF pada Disember lepas.

Dalam sidang media semalam di Hanoi, jurulatih kelahiran Korea Selatan ini bagaimanapun mengatakan, rekod kemenangan lepas tidak memberikan apa-apa kelebihan kepada mereka.

“Saya tak peduli mengenai rekod pertemuan sebelum ini. Barang yang lepas jangan dikenang. Saya tidak dapat beri jaminan 100 peratus, tetapi saya optimis kami boleh menang dalam perlawanan ini.”

Beliau juga mengakui pasukan Malaysia ternyata jauh berbeza dengan skuad yang mereka hadapi dalam perlawanan-perlawanan lepas.

“Malaysia kini jauh lebih kuat memandangkan mereka telah menambah beberapa pemain naturalisasi ke dalam pasukan mereka. Corak permainan mereka juga lebih kemas dan stabil. Bahagian tengah juga jauh lebih baik.” tambah jurulatih berusia 60 tahun itu.

Beliau turut mengingatkan anak buahnya agar mengawal tiga pemain serangan Malaysia iaitu Syafiq Ahmad, Mohamadou Sumareh dan Safawi Rasid yang menjadi sandaran utama pasukan pelawat dan berupaya membuat serangan bahaya dari bahagian sayap.

Kredit Foto: FAM

Pemain tengah Vietnam, Do Hung Dung juga berpeluang untuk bercakap kepada pihak media mengenai perlawanan malam ini.

Dung dan rakan sepasukannya di Hanoi FC menyertai skuad kebangsaan sedikit lewat selepas kembali dari perlawanan Piala AFC di Korea Utara.

Hanoi FC bersaing dalam tiga pertandingan berbeza pada musim ini. Bagaimanapun, Hung tetap yakin mampu memberikan sepenuh komitmen untuk perlawanan Kelayakan Piala Dunia.

“Ya, kami perlu bermain banyak perlawanan bersama kelab dan pasukan kebangsaan. Tetapi tahap kecergasan kami sentiasa dipantau dengan baik.

“Kami dalam keadaan baik-baik sahaja. Yang jauh lebih penting adalah semangat. Tekad yang kuat akan bantu kami mengatasi keletihan.

“Dalam perlawanan seterusnya, kami berhadapan dengan pemain-pemain naturalisasi yang bukan dari Asia Tenggara. Itu akan menjadi cabaran utama.

“Tetapi jurulatih, Park sudah tentu mempunyai perancangannya dan kami akan lakukan yang terbaik untuk menang.”