Quantcast

LIGA MALAYSIA

Milad Zanidpour: Kualiti Bola Sepak Malaysia Semakin Meningkat

Pemain import UKM FC, Milad Zanidpour menyifatkan bahawa mutu saingan Liga Malaysia yang semakin meningkat menyumbang kepada persembahan baik skuad Harimau Malaya.

Ini terbukti apabila beliau menyaksikan skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe memberikan tentangan sengit sebelum tumpas 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019.

”Saya rasa sekarang kualiti bolasepak di Malaysia semakin meningkat, saya pernah melihat perlawanan skuad kebangsaan bermain sebelum ini.”

“Sekarang Malaysia mempunyai pemain yang lebih baik dengan teknik dan taktik yang semakin meningkat malah saya dapat lihat rakyat Malaysia amat gemar bola sepak.

“Saya rasa tidak mustahil pasukan bola sepak Malaysia akan menduduki tangga teratas di Asia suatu hari nanti,” tambahnya.

Dalam pada itu, pemain yang pernah membuat 13 penampilan bersama skuad kebangsaan Iran itu turut melaungkan amaran betapa UKM FC belum mahu mengibarkan bendera putih sebaliknya akan berusaha bangkit merebut kejuaraan Piala Cabaran (Challenge Cup) pada aksi final kedua di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras Sabtu ini.

UKM FC mencatat sejarah apabila berjaya melangkah ke perlawanan akhir buat kali kedua berturut-turut, namun pada tahun lalu tewas pada Terengganu FC II (TFC II) dengan kekalahan 4-2.

Menurut pemain dari Iran itu, kekalahan 1-0 kepada Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pada perlawanan akhir pertama Piala Cabaran sebelum ini langsung tidak mematahkan semangatnya kerana peluang masih terbuka buat kedua-dua pasukan menggapai impian memburu gelaran pertama.

”Saya rasa berdasarkan perlawanan sebelum ini, kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang cerah. Barisan pertahanan UKM FC beraksi dengan baik walaupun melepaskan satu gol kerana kami berjaya menyekat JDT II daripada mencipta banyak peluang.

“Apa yang kami perlu lakukan adalah kekal bersemangat dan berusaha kerasa dalam perlawanan itu nanti,” katanya.