Quantcast

BERITA

Perang Isteri Wayne Rooney Dan Jamie Vardy Tarik Perhatian Netizen

Wayne Rooney dan Jamie Vardy dianggap sebagai dua penyerang England yang mempunyai corak permainan tersendiri.

Pada usia 32 tahun, Vardy dilihat sebagai No.9 sejati. Manakala Rooney – kini berusia 33 tahun – dilihat sebagai pemain yang lebih versatil, seperti yang dibuktikan pada penghujung karier antarabangsanya.

Selain daripada mampu beraksi sebagai penyerang utama, bekas pemain Manchester United itu turut mampu beraksi di bahagian tengah, sayap, mahupun pertahanan jika keadaan memerlukan.

Walaupun hakikatnya kedua-dua pemain ini pernah beraksi bersama selama lebih empat jam untuk pasukan England, kedua-duanya gagal merekodkan walau satu bantuan gol sesama mereka.

Itu kisah Wayne dan Jamie ketika masih bersama skuad The Three Lions satu ketika dahulu. Kami yakin tidak ramai yang mengetahui fakta ini – seperti yang dikongsi oleh OptaJoe di laman Twitter.

Namun yang lebih menarik perhatian pencinta sukan bola sepak – dan mungkin dunia hiburan – di seluruh dunia semalam adalah ‘perang’ diantara isteri kedua-dua pemain, Collen Rooney dan Rebekah Vardy.

Perang Collen vs Rebekah

Melalui satu kenyataan yang dilakukan melalui ciapan di akaun Twitter semalam, Collen menuduh Rebekah sebagai individu yang bertanggungjawab membocorkan, atau menjual cerita mengenai kehidupan peribadi beliau kepada tabloid The Sun.

Collen adalah seseorang yang mempunyai pengaruh dan tarikan di laman Instagram dengan lebih 800,000 pengikut. Beliau terpaksa bertindak menyiasat siapakah dalang di sebalik pembocoran kisah-kisah peribadi beliau, selepas beberapa perkongsian di akaun peribadi tersebut disiarkan oleh media.

“Sejak beberapa tahun, seseorang yang saya percaya untuk mengikuti saya di akaun Instagram peribadi secara konsisten telah menyalurkan maklumat kepada akhbar The Sun mengenai kisah dan muat naik peribadi yang saya lakukan,” ujar Collen dalam kenyataan tersebut.

“Terlalu banyak informasi diberikan kepada media mengenai diri saya, kawan-kawan, dan juga mengenai keluarga, tanpa kebenaran atau pengetahuan dari saya.

“Selepas sekian lama mencari cara untuk mencari siapakah yang bertanggungjawab, akhirnya saya meensyaki seorang individu.

“Untuk membuktikan perkara ini, saya mempunyai satu idea. Saya menghalang semua orang untuk memiliki akses kepada apa yang saya kongsikan, kecuali kepada satu akaun. (Mereka yang berada di akaun peribadi ini pasti kehairanan kerana saya tidak melakukan perkongsian sekian lama)

“Selama lima bulan saya telah berkongsi beberapa cerita yang tidak benar, dan jika ia disalurkan kepada akhbar The Sun. Seperti yang anda lihat, ia telah berlaku!

“Antaranya kisah pemilihan jantina di Mexico, kisah saya mahu kembali memiliki karier di TV, dan juga kisah banjir yang berlaku di bahagian bawah tanah rumah saya.

“Sukar untuk menyimpan perkara ini kepada diri saya sendiri dan tidak memberikan sebarang komen, namun saya harus melakukannya. Sekarang saya sudah mengetahui akaun/individu yang mendedahkan.

“Ia……….akaun milik Rebekah Vardy.”

Sehingga artikel ini ditulis, ciapan oleh Collen itu telah menerima 51,000 ulang kicau, dan 262,000 reaksi suka.

Rebekah lakukan penafian

Rebekah Vardy juga bukan calang-calang orangnya. Beliau mencipta nama di dalam dunia hiburan di Britain sebagai peserta rancangan realiti  ‘I’m a Celebrity … Get Me Out of Here!’.

Kenyataan oleh Coleen itu seperti dijangka akan mendapat respon dari Rebekah. Isteri kepada penyerang Leicester City ini juga menafikan perbuatan beliau.

Malah jawapan Rebekah seperti sangat ‘cliche’ di dalam situasi ini, iaitu seolah-olah akaun beliau telah digodam. Rebekah turut meluahkan kekecewaan kepada Collen kerana terus mendedahkan perkara tersebut kepada umum, pada ketika beliau sedang sarat hamil.

Ciapan oleh Rebekah itu bagaimanapun dipadam oleh beliau tanpa sebarang penjelasan lanjut.

Sebaliknya, satu ciapan lain dituju kepada individu-individu yang mengecam beliau tanpa usul periksa di ruangan komen media sosial milik Daily Mail.

Ini selepas Daily Mail turut berkongsi kisah peperangan Collen dan Rebekah melalui artikel mereka.

Pengajaran

Banyak pengajaran yang boleh kita pelajari di sini. Antaranya ialah supaya jangan suka sangat menjaga tepi kain orang lain. Atau bahawasanya, ada di kalangan kita yang bersikap seperti gunting di dalam selimut. Ia juga mengajar dan menegur agar kita sentiasa bersikap profesional dan beretika dalam setiap perkara.

Tidak semua perkongsian itu membawa manfaat.

Mujurlah suami kedua-dua wanita ini sudah bersara dari bermain bersama England. Buat masa ini, sukar juga untuk melihat kedua-dua pemain beraksi di dalam pasukan yang sama.

Agaknya apa yang akan berlaku jika Rooney dan Vardy berhadapan satu sama lain di dalam perlawanan bola sepak?