Kekalahan pasukan Malaysia ditangan Laos semalam telah membuatkan perjalanan skuad Brad Maloney berakhir dengan penuh memalukan.
Tewas 2-0 selepas tumbang pada lawan yang sama dengan jaringan 2-1 tempoh hari membuatkan kecaman hebat diberikan oleh penyokong Harimau Malaya yang masih terluka sejak episod duka Piala AFF 2020 tempoh hari.
Kini, satu lagi aksi menentang Laos tidak lebih daripada sebuah aksi pelengkap jadual buat skuad muda negara. Tiada apa lagi yang boleh diperjuangkan selain cuba untuk tidak pulang dengan ‘telur ayam’.
Piala AFF B-23: Malaysia Pulang Awal Seperti Dijangka, Penyerang Negara Terus ‘Ghaib’
Pakai je la naturalisasi
Kekalahan memilukan skuad negara ini mendapat perhatian ramai pihak terutamanya bekas pemain kebangsaan iaitu Lim Teong Kim.
Teong Kim yang sebelum ini terlibat dengan projek Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) begitu lantang menyuarakan pendapatnya kebelakangan ini mengenai bola sepak Malaysia.
Kini, ditambah dengan kekalahan memalukan skuad Maloney, Teong Kim sekali lagi bersuara mengenai situasi bola sepak negara.
Di siaran Instagram Berita Harian, Teong Kim meninggalkan komen mengenai segala kegagalan skuad muda negara adalah berpunca daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL).
Teong Kim secara sinis berkata yang program pemain naturalisasi boleh digunakan juga kepada skuad remaja negara seperti yang dilakukan terhadap pasukan senior.
“Lain kali guna saja pemain naturalisasi untuk skuad B-23,” tulis Teong Kim.
Malah bekas pemain Kedah itu juga ‘mencadangkan’ agar peraturan Liga Malaysia diubah dengan 11 pemain import boleh diturunkan.
“Kalau boleh di Liga Super dan Liga Premier guna sahaja 11 pemain import. Saya pasti dengan cara ini bola sepak Malaysia akan akan maju.”
— No Context Bola Malaysia (@nocontextbolamy) February 22, 2022
Teong Kim juga menambah yang cara tersebut boleh menjadi jalan pintas kepada Malaysia kerana mereka tidak perlu galak mengadakan program pembangunan pemain.
Jimat duit bukan tak perlu adakan liga remaja?
Untuk rekod, sudah dua tahun saingan Piala Belia dan Piala Presiden tidak diadakan atas faktor wabak Covid-19.
Dan ramai penyokong bola sepak negara berasakan dengan ketiadaan dua kejohanan itu menjadi punca kenapa skuad remaja negara begitu longlai dek kerana kurang minit permainan.