Piala AFF B-23: Malaysia Pulang Awal Seperti Dijangka, Penyerang Negara Terus ‘Ghaib’

Malaysia terpaksa melupakan hasrat untuk melangkah lebih jauh dalam kejohanan Piala AFF B-23 apabila tewas dua kali berturut-turut di tangan pasukan Laos dalam kumpulan B di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh dengan keputusan penuh sebentar tadi Malaysia 0-2 Laos.

Seawal dua minit perlawanan, Laos terlebih dahulu hampir mencemaskan skuad negara apabila gerakan tonggak, Bounphachan secara solo berjaya mengelirukan pertahanan sebelum dipintas oleh pemain negara dalam petak penalti.

Lima minit perlawanan berlangsung, kedua pasukan masih belum ada membuat sebarang percubaan kearah gol dengan bola lebih banyak berlegar di tengah padang.

Bounphachan sekali lagi hadir dengan kelicikan dicipta beliau untuk melepasi dua pertahanan negara yang dilihat agak leka sebelum percubaan pertama pemain ini berjaya ditepis keluar penjaga gol kebangsaan, Syed Muhammad Nasrulhaq pada minit ke-8.

10 minit pertama permainan menyaksikan skuad muda negara masih belum dapat menyesuaikan diri dalam perlawanan dengan beberapa gerakan yang dicipta tidak menjadi selain kerap kehilangan bola kepada pasukan lawan.

Penyerang muda negara, Muhammad Nur Azfar berjaya menghidu peluang pertama pada minit ke-11 apabila gerakan beliau dari sebelah kiri berjaya melepasi pertahanan lawan sebelum percubaan beliau diselamatkan oleh penjaga gol Laos yang menepis keluar.

Malang menimpa skuad negara apabila kapten, Aiman Afif terpaksa dibawa keluar pada minit ke-15 untuk digantikan oleh Thivandaran Karnan setelah pemain itu ditimpa kecederaan.

Laos hadir dengan beberapa gerakan yang mengancam gawang negara terutama sekali menerusi pemain tonggak mereka, Bounphachan pada minit ke-17 yang berjaya merampas bola dalam petak penalti setelah gagal ditangkap oleh penjaga gol yang kemudian terpaksa menepis percubaan tersebut keluar dari kawasan berbahaya.

Malaysia hampir memperoleh gol pertama perlawanan apabila sepakan sudut yang diambil dari sebelah kanan berjaya ditanduk tepat oleh salah seorang pemain negara sebelum ditangkap kemas oleh penjaga gol Laos, Keo Oudone pada minit ke-24.

Pada minit ke-30, Laos hampir memberi tamparan pertama buat skuad negara apabila Bounphachan berjaya melepasi pertahanan Malaysia yang dilihat terlalu fokus membantu serangan untuk mencipta gerakan solo sebelum rembatan beliau sedikit tersasar dari gawang gol.

Bounphachan berjaya menggegarkan gawang gol negara setelah bijak menyempurnakan sepakan percuma luar kotak penalti pada minit ke-43 untuk menewaskan penjaga gol, Syed Nasrulhaq dan terus memberi tekanan buat skuad muda kebangsaan ini dengan meletakkan keputusan semasa 1-0.

Bersambung di separuh masa kedua, Malaysia  memulakan aksi dengan lebih pantas untuk mencipta peluang yang menterjemahkan gol, namun ketumpulan jentera serangan masih dirasai setakat ini.

Azhad Harraz selaku pemain gantian berjaya melepaskan satu rembatan dari sebelah kiri untuk menguji penjaga gol lawan, namun percubaan beliau agak lemah dan tidak begitu memberi masalah buat Keo Oudone menangkap kemas pada minit ke-51.

Pada minit ke-57 Keo Oudone terpaksa merebahkan badan menyelamatkan bola apabila pemain muda negara, Mohd Nureizkhan berjaya melepaskan rembatan padu dari luar kotak penalti bagi mencari gol pertama negara.

Sehingga 60 minit perlawanan berlangsung, Malaysia dilihat meningkatkan intensiti permainan mereka untuk menyerang bagi mendapatkan gol pertama yang boleh membangkitkan motivasi pasukan.

Tetapi, kecemerlangan pertahanan lawan serta ketangkasan penjaga gol Laos sering menjadi batu penghalang buat kem kebangsaan untuk sekurangnya meraih gol semangat.

Malaysia memperoleh banyak peluang sepakan sudut, namun tiada satu berjaya diubah dalam bentuk gol untuk memberi tekanan lebih buat Laos.

Malaysia sekali lagi memperoleh peluang keemasan untuk mencipta jaringan pertama negara, namun percubaan Muhammad Nur Azfar sekali lagi berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol Laos yang bertindak sangat cemerlang pada minit ke-73.

Laos meranapkan terus impian pasukan Malaysia apabila kesilapan pertahanan negara dan penjaga gol yang salah faham berjaya diambil peluang oleh pemain Laos, Souksaphone untuk menambah gol kedua mereka pada minit ke-86.

Keputusan kekal sehingga wisel penamat dibunyikan dan Malaysia tewas di tangan Laos untuk kali kedua berturut-turut dengan keputusan 0-2 untuk pulang lebih awal dari saingan Piala AFF B-23 di Kemboja.

Kesebelasan utama Malaysia B-23

Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin (Penjaga Gol)

Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili

Muhammad Azrin Afiq Rusmini

Ahmad Tasnim Fitri Mohd Nasir

Javabilaarivin Nyanasegar

Harith Naem Jaineh

Muhammad Fakrul Iman Naszari

Shivan Pillay Asokan

Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar

Mohd Aiman Afif Md Afizul (Kapten)

Arif Shaqirin Suhaimi

Kesebelasan utama Laos B-23

Keo Oudone Souvannasangso (Penjaga Gol)

Phouttavong Sangvilay

Phetdavanh Somsanid

Chantavixay Khounthoumphone

Chony Waenpaseuth

Thanouthong Kietnalonglop

Damoth Thongkhamsavath

Bounphachan Bounkong (Kapten)

Nalongsit Chatalangsy

Phouvieng Phounsavath

Visith Bounpaserth

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN