Penyerang, Ngah Wanja muncul wira buat Kedah Darul Aman untuk menundukkan Penang FC 2-1 di Stadium Bandaraya selepas ketinggalan di babak pertama untuk meraih kemenangan ke-4 mereka dalam lima aksi.
Awal perlawanan menyaksikan Kedah bermula garang dengan memberi tekanan awal kepada benteng tuan rumah dalam lima minit pertama menerusi dua percubaan daripada Ngah Wanja dan Dechi Marcel yang gagal menerjah gawang terutamanya rembatan deras luar kotak penalti oleh Dechi Marcel yang ditepis Khatul Anuar.
Kedah turun dengan formasi yang sama ketika tewas besar 1-4 kepada Selangor iaitu 3-4-3 dengan Aidil Sharin masih memberi kepercayaan kepada gandingan Marc Vales, Jang Suk-won dan Rodeny Calvin sebagai bek bertiga. Perbezaan cuma Ariff Farhan dilihat beraksi di bek sayap kanan dan Al-Hafiz Harun di bek sayap kiri.
Minit ke-11, sekali lagi Kedah menekan benteng Penang menerusi tandukan Syafiq Ahmad hasil hantaran lintang Fayadh Zulkifli. Lima minit sebelum itu, Penang hadir sekali untuk menguji Ifwat Akmal di gawangnya menerusi rembatan lemah Endrick dos Santos. Minit ke-15, rembatan Faiz Mazlan juga ditepis Ifwat Akmal.
16' GOL | Hilal El-Helwe menolak masuk hantaran T. Saravanan untuk gol pembukaan di Stadium Bandaraya!@Penang_FC 1-0 @kda_fc #LigaSuper2022 pic.twitter.com/tSrRHzOk1g
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 17, 2022
Ribuan penyokong tuan rumah melonjak gembira seminit kemudian apabila Hilal El-Helwe yang diletakkan sebagai penyerang utama menggantikan Casagrande yang tidak diturunkan berjaya meledak gol pembukaan hasil hantaran lintang rendah oleh pemain sayap kiri, T Saravanan dari sebelah kanan gawang Sang Kenari.
Saravanan dilihat berjaya memberikan kelebihan buat Harimau Kumbang di sebelah kiri berbanding Adib Raop yang beraksi sebelum ini dengan larian pantas dan hantaran lebih berbahaya ke dalam kotak penalti lawan.
Faiz Mazlan yang juga kembali dalam kesebelasan utama tampak memberi keseimbangan kepada tuan rumah dengan bergandingan bersama Azzizan Nordin. Ketenangan dan hantaran-hantaran beliau memudahkan pergerakan rakan sepasukan untuk merencana asakan ke benteng lawan yang tampak sedikit bergelut.
Selepas jaringan tersebut, Kedah terus menekan Penang, namun kecemerlangan Khatul Anuar di gawang menyukarkan mereka. Sekurang-kurangnya tiga percubaan dicipta pelawat sebelum berakhir babak pertama menerusi rembatan deras Al-Hafiz Harun, tandukkan Ngah Wanja dan rembatan jarak jauh Syafiq Ahmad.
63' GOL | Sepakan penalti Ronald Ngah menyamakan kedudukan di Stadium Bandaraya!@Penang_FC 1-1 @kda_fc #LigaSuper2022 pic.twitter.com/qL4tAfBxnZ
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 17, 2022
Babak kedua, Aidil Sharin membawa masuk Fadzrul Danel untuk menggantikan Khairu Azrin di jentera tengah. Kedah terus menguasai permainan dengan dua percubaan awal daripada Fayadh Zulkifli dan Ngah Wanja, namun Khatul Anuar tampak masih tampil tangkas untuk mudah menafikan dua peluang lawan tersebut.
Minit ke-62, Kedah akhirnya menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti yang disempurnakan oleh Ngah Wanja selepas beliau dijatuhkan pertahanan tuan rumah di dalam kotak penalti sebelum itu. Gol tersebut menjadi tonik terbaik buat mereka untuk meledak jaringan pendahuluan, hanya tiga minit berselang.
Minit ke-65, Ngah Wanja mempamerkan kemampuannya untuk memecah benteng Harimau Kumbang hasil larian derasnya untuk menerima hantaran lolos Fadzrul Danel bagi meledak jaringan kedua buat Kedah.
66' GOL | Gerakan serangan balas disudahkan oleh Ronald Ngah untuk gol keduanya malam ini!@Penang_FC 1-2 @kda_fc #LigaSuper2022 pic.twitter.com/JmOfaKRCVI
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 17, 2022
Terdesak memburu gol, Tomas Trucha membuat beberapa pertukaran untuk mengukuhkan jentera serangan tuan rumah. Azim Rahim, Jafri Firdaus Chew dan Sukri Abd Hamid dimasukkan selepas Kedah berhasil untuk mendahului aksi, namun masih gagal untuk menghadirkan sesuatu sehingga sekali lagi pertukaran telah dibuat.
Syamim Baharuddin dan Danial Ashraf dibawa masuk Penang menuju 10 minit terakhir dan hasilnya mereka berjaya mengasak pelawat menerusi rembatan tersasar Hilal El-Helwe yang ‘senyap’ sepanjang babak kedua. Danial Ashraf juga tampil menguji dengan rembatan jarak jauh yang tersasar daripada gawang Ifwat Akmal.
Di minit ke-90 rembatan jauh Syamim Baharuddin berjaya menewaskan Ifwat Akmal, namun menyentuh palang gol. Ia menamatkan sisa perjuangan Harimau Kumbang dengan dua gol Ngah Wanja kekal sehingga ke penghujung perlawanan untuk beliau muncul wira bagi Kedah memenangi Derbi Utara mengatasi Penang.