Liga Super: Fernando Rodriguez Bantu JDT Jinakkan Harimau Kumbang

Fernando Rodriguez JDT Penang gol menang Liga Super 2022

Johor Darul Ta’zim (JDT) mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Penang FC dalam aksi minggu ke-12 Liga Super 2022 hasil satu-satunya jaringan penyerang, Fernando Rodriguez di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Pelawat dilihat memberi peluang beraksi kepada beberapa pemain yang belum pernah atau kurang membuat penampilan bersama pasukan apabila hanya berdepan cabaran daripada pasukan di dasar liga seperti Penang.

JDT memulakan perlawanan dengan rentak menyerang sejak minit pertama lagi malah Fernando Forestieri berjaya menggegar jaring gol Penang namun telah diperangkap offside oleh benteng pertahanan yang turun tanpa tonggak utama Rafael Vitor pada malam ini. Forestieri mendapat bola kedua hasil rembatan Hong Wan.

Pelawat turun dengan perubahan formasi apabila menggunakan 4-3-3 dengan kemasukkan beberapa pemain yang tidak beraksi sebelum ini seperti Safiq Rahim, Hong Wan, Carli de Murga termasuklah Fernando Rodriguez.

Dengan ketiadaan Endrick dos Santos yang diberikan cuti rehat oleh pengurusan pasukan, pengendali, Zainal Abidin Hassan merombak sedikit jentera tengah dengan kemasukkan Faizat Ghazli selain Christian Rontini serta Azzizan Nordin selain mengekalkan barisan pemain yang hampir sama dengan perlawanan sebelum ini.

Selepas percubaan pertama di minit ke-6, Forestieri hadir sekali lagi dengan percubaan ke gawang tuan rumah di minit ke-19, namun tersasar. Peluang tersebut hadir selepas tandukkan Rodriguez berjaya ditepis Hafizul.

Skuad Harimau Kumbang berjaya bertahan dengan baik di babak pertama apabila mampu mengekang apa yang dirancang skuad Harimau Selatan. Forestieri, Rodriguez dan Arif Aiman tampak buntu. Kekebalan Hafizul Hakim juga menjadi tumpuan apabila sekali lagi menggagalkan percubaan bahaya Forestieri di minit ke-35.

Ketiadaan Rafael Vitor menyaksikan benteng Penang kini diterajui kapten, Khairul Akmal bersama Rontini dan dibantu Fairuz Zakaria dan Adib Raop. Mereka turut dibantu pemain tengah, Azzizan dan K. Thivandaran.

Sebagaimana pendekatan bertahan ketika tewas kepada Selangor baru-baru ini, Zainal mengekalkannya dengan menanti peluang membuat serangan balas. Namun, ia kurang menjadi disebabkan kombinasi yang longgar.

JDT juga tampak kurang mengancam tanpa kehadiran penjaring utama, Bergson yang masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan selain pemain tengah, Leandro Velazquez. Selain itu, pengendali, Benjamin Mora turut dilihat tiada bersama pasukan. Beliau digantikan oleh penolongnya, Jorge Alvares untuk aksi ini.

Babak kedua, menyaksikan Penang hadir beberapa kali ke kubu pelawat, namun gagal memecah kebuntuan perlawanan. Lucas Silva dan Hilal El-Helwe melepaskan peluang melakar gol dalam minit awal babak kedua.

Minit ke-58, Hong Wan melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti yang diselamatkan Hafizul Hakim.

Tuan rumah berjaya mencipta lebih peluang berbanding di babak pertama, namun ketumpulan jentera serangan mereka sedikit sebanyak mengecewakan para penyokong mereka yang turun waima mereka di dasar liga saat ini. Selepas sejam perlawanan berlangsung, Penang masih tercari-cari sentuhan lebih baik di jentera depan.

Hasil visi hantaran jarak jauh pemain gantian, Nazmi Faiz kepada Arif Aiman, pemain muda itu telah membuat hantaran lintang ke depan gawang untuk ditanduk Fernando Rodriguez menewaskan Hafizul Hakim pada minit ke-69 – gol pertamanya dalam tiga aksi bersama JDT pada musim ini, selepas Sabah dan Negeri Sembilan.

Minit ke-80, sekali lagi Forestieri dikecewakan oleh Hafizul Hakim apabila rembatan penyerang kedua JDT itu ditepis penjaga gol tuan rumah. Ia seolah-olah bukan malam yang baik buat penyerang kelahiran Argentina itu.

Seminit sebelum perlawanan berakhir, tuan rumah memperolehi peluang keemasan di depan gawang, namun sentuhan Lucas sedikit mengecewakan. Ia merupakan satu-satunya peluang terbaik dimiliki oleh mereka.

Penang akhirnya tewas buat kali kedua berturut-turut dan melepaskan peluang untuk memintas kedudukan Sri Pahang di tangga ke-11 Liga Super. JDT terus mengukuhkan kedudukan di takhta liga dengan 29 mata.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN