Walau Harganya Terlalu Mahal, Man City Masih Terdesak Mahu Dapatkan Cucurella

Juara English Premier League (EPL) musim lalu iaitu Manchester City dikhabarkan masih berminat untuk mendapatkan khidmat pertahanan Brighton & Hove Albion, Marc Cucurella pada musim panas ini.

Namun, kedua kelab tersebut setakat ini masih lagi mempunyai pendapat yang berbeza mengenai harga pasaran pertahanan tersebut dengan Brighton mengatakan harga Cucurella sebanyak £50 juta.

Menurut ESPN, City menganggap harga tersebut terlalu berlebihan dan menyatakan £30 juta adalah harga lebih logik buat pemain tersebut.

Ketika pemain pertahanan berbakat mereka yang bakal bersama Arsenal musim depan iaitu Oleksandr Zinchenko dengan nilai harga £32 juta, City ketika ini hanya mempunyai Joao Cancelo sahaja sebagai pemain pertahanan kiri.

Ketika ini, City memiliki dua pemain pertahanan yang boleh beraksi di posisi tersebut ketika kecemasan iaitu Aymeric Laporte serta Nathan Ake jika Cancelo tidak dapat diturunkan.

Walaupun begitu, difahamkan Pengurus kelab, Pep Guardiola tetap mahu seorang lagi pertahanan kiri dan meminta khidmat Txiki Begiristain untuk mendapatkan khidmat pemain baharu.

Dan Cucurella dilihat sebagai sasaran paling sesuai ketika ini buat City, setelah potensi yang dipamerkan beliau bersama Brighton musim lalu cukup memuaskan.

Pemain tersebut menyertai Brighton pada Ogos tahun lalu daripada Getafe dengan nilai perpindahan sebanyak £15 juta dan memberi impak positif bersama pasukan sepanjang saingan liga.

Menurut ESPN, ketika ini City masih belum berminat untuk mengadakan pertemuan bersama Brighton bagi membincangkan nilai harga diletakkan kelab tersebut sebanyak £50 juta buat Cucurella.

City hanya akan membuat perbincangan dengan lebih serius untuk mendapatkan pertahanan tersebut sekiranya tawaran harga lebih rendah diletakkan oleh Brighton.

Untuk rekod perpindahan semasa, City akan memperoleh keuntungan hampir £60 juta daripada urusan perpindahan musim panas mereka apabila Zinchenko mengesahkan perpindahannya ke Arsenal.

Selain itu mereka juga telah menambah kekuatan baharu dalam barisan skuad kendalian Pep seperti Erling Haaland, Kalvin Phillips, serta Julian Alvarez.

Kelab tersebut juga tidak akan bertimbang rasa mengenai tawaran harga diletakkan sekiranya nilai perpindahan Cucurella terlalu tinggi.

Sebelum ini, mereka juga pernah melepaskan tawaran untuk mendapatkan pemain seperti Fred,  Harry Maguire, serta Alexis Sanchez kerana merasakan nilai perpindahan diletakkan terlalu tinggi.

Dengan situasi semasa Ake bakal kekal bersama City, dijangka Pep bakal menggunakan beliau dan laporte selain Cancelo bakal beraksi sebagai pemain utama di posisi pertahanan kiri sekiranya usaha mendapatkan  Cucurella menemui jalan buntu.

Sumber:
ESPN

Leave a Reply