Liga Super: 2 ‘S’ Bantu Selangor Atasi Penang Yang Tempang Bermain 10 Pemain

Penang tewas Selangor Liga Super 2022

Kehilangan Sukri Hamid yang dilayangkan kad merah hampir setengah jam aksi berbaki menyaksikan dua pemain gantian, Shahrel Fikri dan Syahir Bashah meledak gol kemenangan Selangor FC ke atas Penang FC.

Turun ke padang dari bangku simpanan seperti ‘super-sub’, gandingan dua ‘S’ itu akhirnya membantu Selangor untuk melonjak ke kedudukan kelima Liga Super 2022 dengan mengumpul 15 mata daripada 10 perlawanan.

Perlawanan bermula sedikit perlahan dengan penguasaan seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan. Selangor mahupun Penang masih tercari-cari rentak untuk memecah benteng pertahanan lawan masing-masing dengan percubaan pertama perlawanan hanya tiba pada minit ke-13 hasil percubaan lemah penyerang Selangor, Caion.

Penang turun dengan kemasukkan dua pemain yang baru didaftarkan di jendela pendaftaran pemain kedua tempohari iaitu pemain sayap kanan, Gopi Rizqi dan penyerang, Lucas Silva yang menggantikan Casagrande.

Sementara Selangor pula tampil dengan barisan terbaik antaranya penjaga gawang yang mula mendapat tempat mengatasi Khairulazhan Khalid dalam empat aksi berturut-turut iaitu bekas pemain Penang, Sam Somerville. Kapten, Brendan Gan juga terus diberikan kepercayaan untuk tampil dalam kesebelasan utama.

Mujur buat Penang apabila peluang terbuka yang diperolehi tuan rumah menerusi Brendan dan Quentin Cheng tidak dimanfaatkan pada minit ke-18 dan berjaya dikeluarkan oleh benteng pelawat yang dibarisi Rafel Vitor, Khairul Akmal, Fairuz Zakaria dan Adib Raop. Ia bermula dengan larian dan umpanan berbahaya Caion.

10 minit kemudian, Caion berjaya melepaskan sepakan gunting hasil hantaran Quentin, namun mudah untuk diselamatkan penjaga gol Harimau Kumbang, Hafizul Hakim. Selangor lebih baik dalam mencipta peluang.

Gandingan Endrick dos Santos, Sukri Hamid dan dua pemain sayap, Gopi serta T. Saravanan dilihat kerap gagal merencana sesuatu yang lebih berbahaya kepada Hilal El-Helwe dan Lucas dalam setengah jam aksi. Apa yang dapat dilihat, Penang lebih berminat bertahan sambil menanti peluang untuk melakukan serangan balas pantas.

Namun, serangan balas pantas yang cuba dijana dilihat kurang kemas dan mudah kehilangan penguasaan bola. Penang mungkin sedar akan keberkesanan jentera serangan lawan yang merupakan kedua terbaik di Liga Super selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) – melakar 21 jaringan yang menyebabkan taktikal bertahan telah dipraktikkan.

Penang cuba mencipta sesuatu di minit ke-37 menerusi gerakan Gopi, namun Somerville pantas menafikannya.

Pengendali The Red Giants, Michael Feichtenbeiner membuat pertukaran di babak kedua dengan kemasukkan pemain lincah, Hein Htet Aung menggantikan Aliff Haiqal yang tenggelam sepanjang babak pertama.

Kemasukkan pemain muda Myanmar itu menambah kerancakkan di jentera tengah tuan rumah. Selangor kini memiliki dua pemain lincah di tengah iaitu Htet Aung dan Mukhairi yang mampu mengucar-kacirkan benteng.

Benteng kukuh pelawat masih sukar untuk dirobek biarpun permainan tuan rumah dilihat semakin rancak.

Sebaliknya, Penang terlebih dahulu mencipta percubaan apabila rembatan Hilal hanya sedikit tersasar di sebelah kiri gawang Somerville. Ia adalah hasil hantaran lambung Lucas yang menemuinya di depan gawang. Ini merupakan percubaan pertama skuad Harimau Kumbang selepas 51 minit perlawanan berlangsung.

Sedar akan lawan yang makin mencengkam aksi perlawanan, pengendali Penang, Zainal Abidin Hassan telah membawa masuk Azzizan Nordin yang lebih baik dalam taktikal bertahan menggantikan pemain sayap, Gopi. Endrick yang sebelum itu bergerak di posisi tengah dilihat mengambil alih tempat Gopi di jentera sayap pelawat.

Penang kehilangan seorang pemain pada minit ke-68 apabila Sukri Hamid dilayangkan kad merah selepas meraih kad kuning kedua kerana didapati mengasari Mukhairi dan ini menyukarkan Penang kerana beliau adalah pemain tengah bertahan. Keputusan sukar dibuat Zainal, mengeluarkan Hilal untuk Christian Rontini.

Minit ke-72, penyokong Selangor boleh berasa lega apabila Sam menyelamatkan situasi kelam kabut di depan gawangnya selepas sepakan percuma oleh Adib Raop sebelum seminit berselang yang menyaksikan gol pertama perlawanan berjaya dicipta oleh mereka menerusi percubaan pemain gantian, Shahrel Fikri.

Ia bermula dengan hantaran lolos Alex Agyarkwa berjaya menemui Shahrel yang membuat larian membelah benteng pelawat sebelum mudah untuk menewaskan Hafizul Hakim – jaringan pertamanya musim ini.

Selangor masih mahu menyerang apabila membawa masuk Syahir Bashah untuk Brendan yang akhirnya membuahkan hasil. Sentuhan pertama pemain tengah itu dengan rembatan jarak jauh telah menewaskan Hafizul Hakim buat kali kedua dalam tempoh enam minit. Ternyata pelawat tampak semakin terkesan.

Kedudukan 2-0 kekal sehingga ke wisel penamat yang menyaksikan Penang akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan keenam dalam 11 perlawanan dan terus menghuni dasar liga dengan mengumpul tujuh mata.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN