Pengendali KL City FC, Bojan Hodak seperti tiada ‘mood’ untuk berada di sidang media pasca perlawanan menentang Penang FC, malam tadi.
The City Boys terpaksa berpuas hati dengan keputusan 2-2 apabila Penang bangkit meledak dua gol untuk membawa pulang satu mata berharga.
Bukanlah prestasi pemainnya yang membuatkan Bojan tiada ‘mood’ untuk bercakap di sidang media, tetapi menurutnya ada yang lebih penting perlu dilihat semula untuk perlawanan tersebut selain kesilapan pemainnya.
Babak pertama berakhir dengan kedudukan 1-0 buat The City Boys apabila pemain naturalisasi terbaharu mereka, Paulo Josue mencipta jaringan menarik menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti di minit ke-14.
Minit ke-71, Josue sekali lagi meledak gol menerusi percubaan luar kotak penalti yang memperdaya Shafiq Afifi di gawangnya untuk mereka dua gol di depan. Tiada sebarang cabaran diberikan oleh pertahanan lawan.
Hanya dua minit diperlukan pasukan pelawat untuk merapatkan jurang gol selepas bekas pemain mereka musim lalu, Hadin Azman menjaringkan gol mudah hasil hantaran Soony Saad yang terbias dari pertahanan lawan.
Apa yang digusarkan Bojan akhirnya tiba pada minit ke-85, apabila kepala Giovane Gomes berjaya menewaskan Kevin Mendoza. Tandukkan padunya terhasil selepas menerima hantaran lintang bek kanan, Faris Shah Rosli.
Kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri tersebut.
Isu pengadil menjadi sebutan di kalangan penyokong dan pihak media, malah Bojan juga sependapat, namun tidak dapat membuat kenyataan.
“Anda mahu tolong bayar denda saya? Saya boleh komen [tentang pengadil] jika anda mahu tolong membayarnya,” ujar Bojan dalam nada bergurau.
“Saya tidak boleh bercakap tentang perlawanan ini. Isnin, kami akan hantar surat kepada FAM dan juga video, tetapi apa yang mampu mengubahnya? Adakah ia beri saya semula dua mata? Tidak. Boleh ia bagi bonus kepada pemain saya? Tidak. Anda juga tahu tentang ini,” ungkapnya penuh kecewa.
Perlawanan malam tadi diadili oleh Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah dan menurut pandangan para pemerhati, ia dilihat tidak cukup bagus.
“Sangat mengecewakan saya tidak boleh bercakap tentang perkara ini. Anda tidak perlu tanya saya soalan lagi tentangnya [pengadil],” ujar Bojan.
“Jika mahu bercakap tentang pengadil, anda akan didenda. Saya terfikir, kenapa kita tidak boleh bercakap tentang pengadil? Kenapa pengadil tidak keluarkan pendapatnya selepas sesuatu perlawanan? Berterus terang sahaja. Ini mungkin menarik untuk liga kita dan anda [wartawan],” tegasnya lagi.