Minda ‘Toksik’ Penyokong Tempatan: Desak Kelab Bayar Gaji ‘Cantik’, Tapi Siaran Langsung Nak Percuma

Tengok bola

Apabila Malaysia Football League (MFL) mengumumkan Astro sebagai penyiar rasmi Liga Malaysia (Liga-M) 2023, timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan segelintir penyokong bola sepak tanah air.

Rungutan itu timbul susulan tiada lagi siaran langsung yang disiarkan secara ‘percuma’ menerusi Youtube seperti yang telah dilaksanakan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, iaitu ketika Unifi TV menjadi penyiar rasmi bagi kesemua perlawanan liga tempatan.

RASMI: Astro & RTM Jadi Penyiar Liga Malaysia 2023

Ada yang mendakwa Liga Malaysia kini bukan lagi untuk rakyat marhaen, tetapi hanya boleh dinikmati oleh golongan ‘berduit’ sahaja kerana kebanyakan perlawanan perlu ditonton di siaran televisyen berbayar.

Jadi adakah hujah tersebut releven?

Kenapa siaran berbayar?

Umum mengetahui bola sepak kini sudah menjadi industri dan kini liga dan kelab yang bertanding sudah pun memasuki fasa penswastaan.

Ini bermakna kos operasi pasukan tidak blagi bergantung kepada dana daripada kerajaan atau institusi tertentu semata-mata kerana ia dianggap tidak adil kepada rakyat yang lebih berhak kepada wang yang dibelanja ‘hangus’ saban tahun.

Apatah lagi perbelanjaan untuk menggaji pemain profesional bagi sebuah pasukan akan menelan kos sehingga jutaan ringgit dan inilah isu yang kerap kali berulang dan seolah-olah tiada penyelesaian.

Legenda bola sepak negara, Azman Adnan ketika Majlis Pengenalan Pengulas dan Tetamu Pakar Bola Sepak Astro pada minggu lalu berkata beliau rasa gembira dan teruja tatkala Astro diumumkan sebagai penyiar rasmi Liga-M.

Baginya ia adalah bukti bahawa bola sepak Malaysia ini mempunyai nilainya yang tersendiri kerana reputasi Astro itu sendiri yang mempunyai kepakaran dalam menyiarkan pertandingan atau kejohanan sukan terkemuka di dunia.

Sebagai contoh adalah kemampuan Astro untuk menjadi penyiar rasmi bagi siaran langsung Liga Perdana Inggeris (EPL) yang merupakan liga paling popular di dunia.

Seperti sedia maklum, rakyat Malaysia yang mahu menonton perlawanan EPL perlu melanggan pek sukan Astro dengan langganan pada harga tertentu.

Daripada duit langganan itulah terhasilnya dana hak penyiaran yang kemudiannya disalurkan kepada kelab-kelab EPL yang jumlahnya dianggarkan sekitar £100 juta (RM530 juta) bagi setiap pasukan secara purata.

Antara syarikat lain yang mendapat hak penyiaran tersebut bagi negara lain di seluruh dunia adalah SKY Sport, BT Sport, Amazon Prime, BBC Sport, BeIN Sport dan banyak lagi.

Secara keseluruhan, untuk 200 perlawanan EPL yang disiarkan setiap musim, jumlah dana hak penyiaran yang disalurkan adalah sebanyak £1.5 bilion (RM7.9 bilion).

Data pada musim 2016/17 dana hak penyiaran yang diterima oleh 13 daripada 20 kelab EPL merupakan 3/4 daripada pendapatan tahunan mereka.

Wang hak penyiaran

Sehingga hari ini, MFL masih berpendirian untuk tidak mendedahkan sebarang angka tentang nilai hak penyiaran dan tajaan kepada umum.

Sebaliknya hanya pasukan bertanding sebagai pemegang taruh sahaja yang mengetahui jumlah sebenar bagi menjaga sensitiviti dan mengelak dari menimbulkan rasa tidak puas hati pihak tertentu.

Bagaimanapun pada awal bulan ini, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam mengumumkan berita gembira dengan mengesahkan terdapat penambahan dana wang hak penyiaran kepada setiap pasukan pada tahun ini.

Tahun lalu setiap pasukan Liga Super hanya menerima sejumlah RM500,000 manakala pasukan Liga Premier pula mendapat RM250,000 dengan jumlah keseluruhannya sekitar RM12 juta.

Angka tersebut jauh lebih rendah daripada yang pernah diterima beberapa tahun lalu iaitu RM3 juta bagi pasukan Liga Super dan RM1 juta buat pasukan Liga Premier.

Bagaimanapun pada 2019, ianya telah berkurangan kepada RM1.5 juta buat pasukan Liga Super dan RM500,000 untuk pasukan Liga Premier.

Pandemik Covid-19 pada 2020 menjadikan angkat tersebut terus menyusut dan bagi musim 2021 jumlah dana hak penyiaran tersebut tidak didedahkan.

Andaikan industri bola sepak Malaysia bakal berkembang lebih pesat pada masa akan datang, tidak mustahil dana hak penyiaran bagi setiap pasukan boleh mencecah sehingga RM5 juta atau lebih lagi pada tahun-tahun seterusnya.

Sekiranya angka itu dapat dicapai, ia sekurang-kurangnya dapat menyelesaikan isu yang sering membelenggu arena bola sepak negara iaitu masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan Liga-M.

Berapa harga siaran langsung Liga-M?

Bagi pelanggan Astro sedia ada yang sudah mempunyai langganan pek Sports, siaran langsung Liga-M ini boleh ditonton tanpa sebarang kos tambahan.

Manakala bagi pelanggan Astro yang tidak mempunyai langganan pek Sports dan berminat untuk menambah akses bagi membolehkan menonton perlawanan Liga Malaysia dengan harga pengenalan RM4.99/bulan selama tiga bulan sebelum bertukar kepada harga biasa iaitu RM9.99 sebulan.

Sementara itu, bagi pelanggan Astro yang tidak mempunyai pek Sports dan ingin menambah pek Sports yang turut merangkumi akses perlawanan Liga Malaysia, boleh menaik taraf dengan dengan tawaran istimewa berharga RM89.99/bulan.

Bagaimana pula dengan mereka yang tidak terikat dengan kontrak langganan Astro?

Jawapannya adalah dengan aplikasi penstriman, sooka yang menawarkan pas perlawanan tunggal pada harga pengenalan RM4.90 bagi setiap perlawanan.

Keduanya, Sooka menawarkan pakej bulanan yang diberi nama Pas Liga Malaysia dengan harga RM28.90 bagi setiap bulan.

https://twitter.com/AfiqShari/status/1629687063254831106?s=20

Seterusnya, terdapat pakej langganan VIP+Sports yang berharga RM41.90 setiap bulan. Pakej ini membolehkan pelanggan untuk mengakses semua kandungan sukan termasuk Liga Malaysia dan semua kandungan hiburan melalui telefon mudah alih.

Akhir sekali, sooka turut menawarkan pakej TV VIP dengan harga langganan sebanyak RM62.90 bagi setiap bulan. Melalui pakej ini, pelanggan akan diberikan akses sooka melalui TV skrin besar serta satu akses mudah alih terhadap semua kandungan sukan termasuk Liga Malaysia dan juga hiburan.

Penutup

Jika seseorang itu mengaku beliau merupakan penyokong tegar bagi sesebuah kelab, apakah sumbangannya bagi memastikan pasukannya itu mampu bertahan terutamanya dari sudut kewangan?

Jawapannya mungkin dengan membeli pas bermusim, hadir menonton perlawanan di stadium terutamanya gelanggang sendiri, membeli jersi atau barang dagangan lain dan lain-lain lagi.

Jika sebelum ini siaran langsung boleh ditonton di Youtube ‘secara percuma’, ia tetap memerlukan akses internet. Namun bezanya untuk musim ini setiap perlawanan boleh ditonton di aplikasi Sooka dengan harga RM4.90 bagi satu perlawanan.

Jika ia ditonton secara berkumpulan seramai lima orang, ianya hanya menelan kos tidak sampai RM1.00 untuk setiap penonton.

Apa yang penting duit langganan tersebut akan menyumbang kepada wang hak penyiaran yang akan disalurkan kepada pasukan.

Jadi, adakah releven lagi hujah untuk mengatakan Liga Malaysia kini tidak lagi boleh dinikmati oleh golongan marhaen?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN