Liga Super 2021: 5 Perkara Kemenangan JDT, ‘Berpeluh’ Tundukkan Penang FC

Sam Somerville Gonzalo Cabrera JDT Penang 2021

Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih kemenangan kedua saingan Liga Super 2021 apabila menundukkan Penang FC 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Tiga mata berharga buat skuad Harimau Selatan yang telah berjaya dikekang oleh skuad Harimau Kumbang sepanjang 80 minit perlawanan sebelum mereka berjaya menghasilkan gol pembukaan pada minit ke-81 dan seterusnya pada minit ke-85.

JDT menghasilkan gol menerusi Leandro Velazquez menerusi sepakan penalti dan percubaan penyerang, Fernando Rodriguez, lima minit menuju wisel penamat.

Berikut adalah 5 perkara menarik kemenangan JDT ke atas Penang FC.

1. Skuad yang sama buat JDT, Penang FC rehatkan Boboev

Pengendali JDT, Benjamin Mora masih memberikan kepercayaan kepada barisan pemain yang sama ketika menundukkan naib juara Liga Super 2020, Kedah Darul Aman (KDA FC) pada Jumaat. Menurutnya, tiada perubahan perlu dibuat setakat ini.

Walaupun pada awalnya dikatakan penyerang utama, Fernando Rodriguez mengalami kecederaan dan kurang cergas, namun beliau tersenarai dalam kesebelasan utama.

Untuk pasukan pelawat, mereka memilih untuk merehatkan dulu penyerang Tajikistan, Sheriddin Boboev dan memasukkan D. Saarvindran untuk menggerakan sebelah sayap kanan. Tomas Trucha masih mempertaruhkan formasi yang sama 4-3-3.

Jelas, pengendali kelahiran Republik Czech itu telah mengenalpasti kekurangan ketika menundukkan Kuala Lumpur City (KL City) 1-0 tempohari. Sheriddin Boboev gagal menjelmakan aksi yang diharapkan dan perubahan perlu ‘disuntik’ di posisi itu.

D. Saarvindran dilihat berjaya memberi ‘nyawa’ kepada posisi tersebut dengan larian deras dan hantaran lintang ke dalam kotak penalti sebagaimana Amer Azahar yang menggerakkan sayap kiri pasukan pelawat dengan kelincahan yang dipamerkan.

2. JDT turunkan skuad tertua

Menurut OptaJ, pada minggu pertama tempohari, JDT menurunkan skuad tertua dalam saingan Liga Super dengan purata umur 29.6 dan Penang FC pula menampilkan skuad yang memiliki purata 26.6 ketika berdepan KL City pada Sabtu.

Walaupun memiliki skuad yang berumur, jelas pengalaman mereka ketara jauh ke depan jika hendak dibanding dengan pasukan-pasukan lain. Itu yang membezakan mereka dengan Kedah ketika menjulang Piala Sumbangsih tempohari.

Tiada perubahan ketara dalam purata umur pemain dalam kedua-dua pasukan dalam pertembungan ini. JDT menampilkan kematangan mereka sepanjang 80 minit, memburu jaringan pertama yang akhirnya tiba menerusi sepakan penalti.

3. Gandingan Ryuji Utomo dan Rafael Vitor curi tumpuan

Sekali lagi, gandingan dua bek tengah import Penang FC ini mencuri tumpuan. Ketika berdepan KL City, mereka berdua berjaya membuat penyerang tuan rumah, Dominique da Silva, Indra Putra Mahayuddin dan Hadin Azman, buntu memburu jaringan gol.

Dapat dilihat di babak pertama, tiada ruang buat pemain-pemain JDT untuk memecah masuk ke kawasan penalti pelawat walaupun ada beberapa gerakan cuba dilakukan oleh Safawi Rasid. Ryuji Utomo kerap kali membayangi gerakan akhir lawan – 3 kali.

Ini yang memaksa JDT membuat percubaan jarak jauh antaranya satu-satu percubaan tepat di babak pertama menerusi pemain tengah, Afiq Fazail yang ditepis keluar oleh Sam Somerville di minit ke-19, selain percubaan Gonzalo Cabrera di minit ke-55

Ini diteruskan di babak kedua sehinggalah kesilapan oleh penjaga gol, Sam Somerville, 10 minit menuju penamat dengan menerjah Gonzalo Cabrera dan menghadiahkan Harimau Selatan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Leandro Velazquez.

 4. Safawi Rasid dirantai hampir kemas

Penampilan bek kiri berusia 20 tahun, Azmeer Aris sekali lagi pasti akan mengujakan penyokong Penang FC. Mengambil alih peranan di posisi milik kapten, Azmi Muslim, Azmeer Aris tidak kekok merantai Pemain Paling Bernilai (MVP) 2018 dan 2019.

Hanya beberapa kali tuan rumah berjaya memecah masuk sehingga ke depan gawang yang dikawal Sam Somerville, namun ketenangan pemain-pemain Penang FC berjaya menafikan peluang yang dicipta antaranya gerakan Matt Davies di babak pertama.

Safawi Rasid akhirnya berjaya melepaskan diri daripada kawalan Azmeer Aris di minit ke-64, hasil hantaran lolos baik oleh Natxo Insa, namun beliau gagal memanfaatkan peluang tersebut apabila bola yang disentuhnya melepasi penjaga gol tetapi tersasar.

Pemain Tengah Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK20) itu gagal menebus kekecewaannya dan akhirnya telah digantikan oleh Arif Aiman pada minit ke-72.

5. JDT kawal sepenuhnya babak kedua

Terdesak memburu kemenangan kedua berturut-turut, JDT mengawal sepenuhnya perlawanan di babak kedua. Begitupun, Penang FC dilihat cemerlang membendung asakan bertali arus oleh tuan rumah sejak wisel babak kedua ditiup pengadil.

Adakah pasukan pelawat ‘park the bus’ di babak kedua? Rasanya tidak kerana mereka membuat pertukaran pemain di jentera serangan iaitu memasukkan Sheriddin Boboev dan Al-Hafiz Harun di minit ke-62 selain Azwan Aripin lima minit kemudian.

Majoriti aksi babak kedua, pemain Penang FC dilihat berada di zon sendiri disebabkan dominasi bola oleh Harimau Selatan. Mereka tidak memberikan ruang buat lawan untuk memiliki bola dan merencana counter attack sebagaimana di babak pertama.

Tekanan demi tekanan, Harimau Kumbang akhirnya tewas secara mentalnya apabila kesilapan Sam Somerville memberikan penalti, meruntuhkan terus moral pasukan. Mereka gagal untuk membendung gol kedua yang dihasilkan oleh Fernando Rodriguez.

KREDIT FEATURED IMAGE: JST

Baca lagi artikel lain mengenai JDT dan Penang FC:

Penang Intai Peluang Curi Mata Berdepan JDT Di Stadium Sultan Ibrahim

Piala Sumbangsih 2021: JDT Kekalkan Kejuaraan, Mudah Benam Kedah

Liga Super 2021: 5 Perkara Pertembungan ‘Rakan Promosi’ Penang FC vs KL City

Leave a Reply