Kelantan nampaknya begitu serius dengan misi menjuarai saingan Liga Premier musim ini selepas terus mencatat kemenangan apabila menewaskan Skuad Projek FAM-MSN dengan keputusan 1-0.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu itu, pemain gantian Abdul Latiff Suhaimi muncul wira buat The Red Warriors apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan.
Meskipun mendominasi perlawanan dengan penguasaan bola dan mencipta deretan peluang sejak awal perlawanan, skuad kendalian Rezal Zambry Yahya itu buntuk untuk menghasilkan jaringan sepanjang babak pertama.
Gol yang ditunggu-tunggu oleh 5,000 penyokong tuan rumah akhirnya tiba pada minit ke-76 apabila Latif berjaya menolak masuk bola ke dalam gawang dalam keadaan kelam kabut di hadapan gol.
Tiga mata yang diraih itu memastikan Kelantan kekal di puncak liga selepas mengumpul 32 mata daripada 13 perlawanan, sekaligus mencerahkan peluang untuk menjulang kejuaraan.