Bagi saingan Liga Juara-Juara Eropah kumpulan G dan H pula, Besiktas dan Tottenham Hotspur mendahului kumpulan masing-masing dengan mencatatkan 10 mata walaupun kedua-dua pasukan menerima nasib yang berbeza pada perlawanan pagi tadi.
Tottenham gah dengan kemenangan 3-1 menentang penyandang juara, Real Madrid manakala Besiktas terikat 1-1 dengan AS Monaco.
Kumpulan G
Besiktas lawan AS Monaco
Beraksi di Vodafone Stadyumu, Besiktas tersentak dengan jaringan menarik dari luar kotak penalti oleh Rony Lopes pada masa kecederaan babak pertama.
Penyerang tuan rumah, Cenk Tosun muncul sebagai penyelamat buat pasukan yang dibimbing bekas pengurus skuad kebangsaan Turki, Senol Gunes apabila berjaya menyempurnakan sepakan penalti yang dihadiahkan kepada tuan rumah pada minit ke-54.
Kedudukan tersebut kekal hingga tamat perlawanan.
Walaupun sekadar mencatatkan keputusan seri, Besiktas kekal ditangga teratas kumpulan G. 4 mata meninggalkan FC Porto ditempat kedua yang memperoleh 6 mata. RB Leipzig dan AS Monaco masing-masing mencatatkan 4 dan 2 mata.
FC Porto lawan RB Leipzig
FC Porto berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-12 berpunca daripada keadaan kelam kabut dihadapan pintu gol RB Leipzig. Hector Herrera yang tidak dikawal berjaya melakukan rembatan yang menewaskan Peter Gulacsi di gawang lawan.
RB Leipzig menghukum kealpaan pertahanan FC Porto sebaik sahaja babak kedua bermula apabila lorongan cantik dari Marcel Sabitzer berjaya disudahkan oleh Timo Werner bagi menyamakan kedudukan pada minit ke-48.
Danilo Pereira kembali menceriakan penyokong tuan rumah apabila tandukan dilakukannya hasil sepakan percuma dari Alex Telles menerjah jaring untuk FC Porto kembali di depan.
Maximiliano Pereira mematikan sisa perjuangan kelab dari liga Jerman itu apabila menyudahkan hantaran yang dilakukan oleh Vincent Aboubakar untuk kemenangan 3-1 buat skuad bimbingan Sergio Conceicao itu.
Kumpulan H
Tottenham Hotspur lawan Real Madrid
Selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Santiago Bernabeu, Tottenham Hotspur berjaya menggunakan kesempatan ekoran prestasi kurang memberangsangkan Real Madrid dalam saingan La Liga ketika ini apabila berjaya menewaskan gergasi Sepanyol tersebut di Wembley.
Delle Ali membuka tirai jaringan pada minit ke-27 setelah berjaya menolak masuk hantaran lintang yang dilakukan Kieran Trippier.
Alli menambah jaringan buat Spurs apabila rembatan yang dilakukannya terbias mengenai Sergio Ramos yang membuatkan penjaga gol Real Madrid, Francisco Casilla tertewas buat kali kedua.
Tidak cukup dengan dua jaringan tersebut, Tottenham Hotspur terus menggandakan usaha dan jaringan ketiga menjelma pada minit ke-65 menerusi Christian Eriksen.
Bintang dunia, Cristiano Ronaldo menemui sentuhan jaringannya pada minit ke-80. Bagaimanapun jaringan tersebut tidak mempu untuk menghalang tuan rumah untuk mencatatkan kemenangan sekaligus berada di persada kumpulan H setakat ini.
Kemenangan ini telah mengesahkan tempat Spurs ke pusingan seterusnya.
Borussia Dortmund lawan APOEL Nicosia
Kelab dari Jerman itu mensia-siakan peluang keemasan untuk meraih mata penuh di tempat sendiri apabila sekali lagi diikat 1-1 oleh APOEL. Keputusan yang sama turut dicatatkan pada perlawanan di Cyprus.
Pemain pertahanan kiri Dortmund, Raphael Guerreiro menjaringkan gol pembukaan pada babak pertama manakala Mickael Pote menyamakan kedudukan pada babak kedua buat APOEL untuk kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 1-1.
Keputusan tersebut meletakkan Borussia Dortmund dan APOEL ditempat ke-3 dan 4 kumpulan setelah masing-masing memperoleh 2 mata. Real Madrid ditempat kedua dengan 7 mata dicatatkan.