Tottenham Hotspur melangkah dengan penuh bergaya ke peringkat kumpulan Liga Europa (UEL) 2020/21 apabila skuad bimbingan Jose Mourinho itu berjaya membelasah Maccabi Haifa 7-2 pada aksi kelayakan awal pagi tadi.
Lebih menarik untuk diperkatakan, penyerang berbisa, Harry Kane telah meledakkan hatrik pada perlawanan yang berlangsung di Tottenham Hotspur itu.
Kejayaan di laman sendiri itu juga meneruskan rentak kemenangan pada minggu ini setelah Spurs menumpaskan Chelsea menerusi penentuan penalti sekaligus mara ke peringkat suku akhir Piala Carabao.
Kane hanya memerlukan dua minit sahaja untuk membuka tirai jaringan apabila penyerang berusia 27 tahun itu yang bijak melepasi kawalan pertahanan Maccabi Haifa, dengan tenang menolak masuk bola selepas menerima hantaran lintang daripada Ben Davies.
Kelebihan itu bagaimanapun dipadamkan oleh Tjaronn Chery hasil percubaan cantik dari luar kawasan penalti yang gagal dinafikan penjaga gol, Joe Hart berselang 15 minit kemudian.
Tersentak dengan jaringan tersebut, para pemain Tottenham memperkemaskan aksi dalam usaha memburu jaringan dan usaha mereka nyata membuahkan hasil setelah tiga jaringan berjaya dihasilkan pada minit ke-21, 36 dan 39.
Koleksi jaringan itu dimulakan oleh Lucas Moura manakala dua gol lagi dihasilkan pemain kelahiran Argentina, Giovani Lo Celso.
Memasuki separuh masa kedua, pasukan pelawat berupaya mengurangkan defisit jaringan di minit ke-52 selepas Nikita Rukavytsya menyempurnakan sepakan penalti berikutan bola yang terkena tangan pemain pertahanan, Matt Doherty dalam kawasan penalti.
Empat minit kemudian, Tottenham Hotspur pula dihadiahkan sepakan penalti dan Harry Kane tidak berdepan masalah untuk menewaskan penjaga gol Maccabi Haifa, Josh Cohen.
Kane yang bertindak selaku ketua pasukan pada perlawanan ini melengkapkan hatrik apabila beliau melakukan larian yang cukup baik ke dalam kawasan penalti dan disusuli juga dengan hantaran menarik dari Steven Bergwijn untuk menyudahkan peluang tersebut pada minit ke-74.
Enam jaringan tersebut dilihat masih belum cukup buat anak buah Mourinho yang menyaksikan pemain gantian, Dele Alli menambah jaringan ketujuh untuk melengkapkan kemenangan besar itu di lewat permainan.
Kredit featured image: Tottenham Hotspur (Twitter)
Baca artikel dari kami mengenai Liga Europa: