Lepaskan Lucas Silva, Antara Kehendak Penyokong & Keperluan Pasukan Yang Mendesak Penang FC

Lucas Silva Penang FC mendesak

Harus diakui impak besar yang ditinggalkan Lucas Silva, namun Penang FC akhirnya terpaksa melepaskannya, mungkin atas faktor yang mendesak.

Sebilangan penyokong mungkin kecewa dengan tindakan pengurusan melepaskan pemain berkualiti seperti Lucas Silva dan sebelum ini, Hilal El-Helwe, namun ini perlu dilakukan demi kantung kewangan yang sihat.

Lucas adalah penyerang yang diterbangkan dengan rekod menakjubkan bersama Kitchee SC – pernah dinobat sebagai penjaring terbanyak saingan tertinggi liga Hong Kong itu untuk dua musim berturut-turut iaitu pada 2017/18 dan 2018/19. Tentunya ia ‘perjudian’ dan pelaburan besar.

Penang Terbangkan Lucas Silva, Si ‘Kaki Emas’ Hong Kong Sebagai Pengganti Casagrande

Penyertaannya di saat Penang memerlukan sentuhan penyerang yang berkualiti dan Lucas Silva membuktikan ‘perjudian’ terhadapnya berbaloi.

Pendaftarannya dilakukan pada saat akhir sebelum jendela perpindahan kedua Liga Malaysia ditutup bagi menggantikan penyerang, Casagrande.

Casagrande yang telah membantu Penang selama empat musim telah mengalami kecederaan panjang yang memaksanya untuk berehat lama.

Pengurusan Penang dan barisan kejurulatihan akhirnya terpaksa membuat keputusan mengeluarkan namanya dan menggantikannya dengan Lucas.

11 gol dalam 15 penampilan dalam semua aksi domestik di Liga Malaysia adalah pencapaian yang bagus untuk pemain yang baharu tiba di Malaysia.

Penang Lepaskan Hilal El-Helwe Sebelum Piala Malaysia Bermula

Hilal El-Helwe pula terpaksa mengucapkan selamat tinggal lebih awal – sebelum Piala Malaysia bermula. Beliau juga pemain serangan yang berkualiti dimiliki Harimau Kumbang musim lalu. Walaupun dikhabarkan faktor keluarga menjadi puncanya, tetapi dapat dirasakan ada sebab lain.

Penang adalah pasukan bajet kecil. Ini rasanya hampir semua pengikut Liga Malaysia sudah tahu. Mungkin atas sebab itu, ramai pemain utama musim lalu memilih untuk angkat kaki. Kekangan kewangan menyebabkan Penang terpaksa bergerak dengan bajet yang lebih kecil di saingan musim 2022.

Hasilnya, mereka tiada masalah tunggakan gaji. Ia satu pencapaian yang baik dari segi kewangan pasukan, namun prestasi pasukan menjadi korban.

Penang menamatkan musim di kedudukan tercorot dengan hanya 11 mata, enam mata di belakang pasukan di kedudukan ke-11, Sarawak United. Ia berlaku selepas mereka mengejutkan banyak pihak pada musim pertama kembali ke Liga Super pada 2021 – berada di tangga ke-3 di hujung musim.

Musim ini majoriti pemain yang direkrut adalah pemain ‘kelas kedua’, yang tidak mendapat tempat bersama pasukan lain atau masih muda. Mungkin boleh kita anggap bagus untuk Liga Premier, tidak untuk Liga Super.

Pengendali sebelum ini, Dato’ Zainal Abidin Hassan pula dikatakan sudi membantu ‘setulus hati’ dalam ucapan penghargaan kepadanya seperti memberi gambaran, ia tidak melibatkan kos yang besar kepada Penang.

Jadi, apa jua pertimbangan pengurusan Penang adalah berdasarkan kedudukan kewangan mereka. Ia mendesak mereka untuk lebih berjimat dalam memastikan tiada lagi masalah tunggakan gaji kepada pemain.

Dengan pengenalan Liga Simpanan untuk skuad B-23 musim depan, setiap pasukan perlu menyediakan satu lagi pasukan selain skuad utama, Piala Presiden dan Piala Belia. Ini tentunya melibatkan kos kewangan yang besar. Harimau Kumbang dilihat sudah memulakan langkah melepaskan ‘beban’.

Empat pemain import diumumkan dilepaskan selain Hilal pada penghujung Liga Super. Mereka adalah Lucas Silva, Casagrande, Christian Rontini dan kapten, Endrick dos Santos. Kini, Penang hanya tinggal Rafael Vitor yang dikhabarkan akan dikekalkan untuk semusim bagi saingan musim depan.

Kita tahu, pemain import memerlukan bajet yang lebih dan inilah yang mendesak Penang untuk berjimat termasuklah melepaskan Lucas.

13 pemain tempatan turut terpaksa mengucapkan selamat tinggal dan antara nama besar dalam pasukan adalah penjaga gol, Hafizul Hakim, Rafiuddin Roddin, Jafri Firdaus Chew dan Danial Ashraf Abdullah.

Pemergian mereka memberi impak positif dari segi kewangan pasukan.

Sebelum ini turut dikhabarkan Penang dalam usaha untuk memancing pengendali baharu bagi musim 2023. Menariknya, antara pengendali yang dikaitkan adalah yang sudah biasa menguruskan pasukan bajet kecil iaitu Sulaiman Husin. Ini seperti menggambarkan bajet yang dimiliki mereka.

Mereka memerlukan jurulatih yang mampu untuk mencipta magis dengan pemain-pemain yang sederhana dan juga mungkin pemain-pemain muda.

Untuk mengharungi musim yang panjang dengan perubahan struktur Liga Super selain pertambahan beban untuk aksi Liga Simpanan, kedudukan kewangan amat mendesak Penang untuk menguruskan kewangan dengan bijak. Mereka turut sedang mencari Pegawai Pemasaran untuk membantu.

Oleh itu, para penyokong Penang mungkin perlu sekali lagi bersabar jika segalanya masih tidak memihak kepada mereka pada musim depan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN