Legenda Liverpool Cabar Roy Keane Untuk Bertinju Dengannya

Legenda Liverpool, Jason McAteer tampil mencabar bekas ketua pasukan Manchester United, Roy Keane untuk bertarung dengannya dalam satu perlawanan tinju.

Beliau merasakan yang bertinju adalah satu-satunya cara untuk menyelesaikan perseteruan panjang antaranya dengan legenda Man United itu.

Perseteruan antara kedua pemain ini sudah berlanjutan sejak dua dekad lalu lagi dan ia dikatakan bermula ketika aksi dalam saingan Premier League yang menemukan Manchester United bertemu Sunderland.

Keane dan McAteer beberapa kali bertengkar di atas padang pada ketika itu dan sudah ramai menjangkakan yang mereka mungkin akan bergaduh.

Ketegangan antara kedua mereka mula memuncak selepas Keane yang ketika itu beraksi bersama Man United telah dilayangkan kad merah kerana beliau menyiku McAteer.

Konflik antara kedua mereka telah dibangkitkan semula oleh Keane baru-baru ini selepas beliau bercakap tentang hal tersebut di podcast ‘The Overlap’.

Ketika berbual dengan pengacara, Gary Neville, legenda Manchester United itu menegaskan yang McAteer berhak untuk menerima sikuan itu dengan beliau turut menafikan yang mereka berkawan.

Keane menolak untuk dianggap sebagai salah seorang kawan kepada McAteer dengan beliau jelas sekali menganggap bekas bintang Liverpool itu hanya sekadar musuhnya.

McAteer menjawab kenyataan Keane itu dengan menganjing semula legenda Premier League itu dan turut menggelarnya sebagai ‘badut’.

Selain menghina Keane di media sosial, beliau turut bercakap tentang legenda Man United itu ketika bertugas di beIN sports baru-baru ini.

Ketika mengulas aksi perlawanan antara Ireland bertemu Belanda baru-baru ini, McAteer sekali lagi bercakap tentang Keane dengan beliau menyatakan bahawa:

“Saya lebih suka dia datang sini sekarang dan kita teruskan saja kehidupan dengan melupakan semua yang sudah berlaku, mari kita guna cara lebih baik. Atau, kita masuk ke gelanggang, dapatkan sejuta seorang dan berlawan.”

Jelas McAteer.

“Eddie (Hearn), jika kamu menonton, Eddie Hearn, hubungi dia. Tapi Roy, ayuh lah, jadi lebih bagus dari itu. Dan saya janji saya tak akan ambil peduli lagi.”

Keane masih belum membalas kenyataan dari McAteer yang mencabar beliau untuk bertinju itu, namun ramai peminat percaya legenda Red Devils itu tidak akan peduli dengan cabaran tersebut.

Jelas sekali akan sangat ramai yang mahu menyaksikan Keane bertinju di dalam gelanggang kerana semua tahu bagaimana bengisnya beliau ketika berada di atas padang.

Walau bagaimanapun, belum tentu Keane akan mahu untuk menerima cabaran tersebut dan mungkin beliau tidak akan peduli sama sekali dengan kenyataan dari McAteer itu.

Di mata peminat, Keane yang sekarang tidak sama seperti dahulu dengan beliau kini dilihat sedikit santai dan lebih kerap bergurau.

Beliau kerap bergurau dengan rakan penyampai Micah Richards dan tidak keterlaluan juga untuk menganggap bekas bintang Man United itu kini lebih sering dibuli berbanding dahulu beliau dikenali sebagai seorang yang sangat bengis.

Walau sudah tidak sering bengis seperti dahulu, namun Keane sesekali tetap ada menunjukkan sikap sebenar beliau terutama ketika melihat Man United tewas.

Beliau kerap menghentam pemain dengan kritikan yang sangat pedas dan semua tahu itulah sikap sebenar Keane, seorang pemimpin yang tegas dan garang.

Untuk melihat beliau sudi bertinju itu mungkin agak sukar, namun tidak akan mengejutkan sama sekali andai beliau akan tampil dengan mengeluarkan kenyataan pedas dan penuh penghinaan.

Adakah kalian semua nak saksikan Keane bertinju dengan McAteer? Bincangkan di ruangan komen.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN