Sedekad Dedikasi TMJ Di JDT Pengubah Nasib Harimau Malaya

Susulan dua kemenangan kelayakan Piala Dunia 2026 ke atas Kyrgyzstan dan Chinese Taipei baru-baru ini, sukar untuk kita tidak berasa bangga. Apabila kita mengimbas semula pencapaian Harimau Malaya sepanjang 2023, ia menceritakan kisah kebangkitan. Malaysia, yang duduk di tangga ke-145 ranking FIFA pada permulaan 2023, kini berada di ambang untuk memecah masuk ranking 130 teratas, menjelang kemaskini seterusnya pada 30 November nanti.

Selepas layak ke Piala Asia AFC 2023 secara merit pada tahun lepas, Harimau Malaya meneruskan prestasi baik sepanjang kalendar bola sepak antrabangsa 2023. 9 kemenangan, 2 seri, dan hanya 2 kekalahan sepanjang tahun 2023. Cabarang seterusnya: kempen Kumpulan E di Piala Asia AFC 2023 menentang gergasi bola sepak Asia seperti Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.

Kredit kepada FAM atas peningkatan membanggakan skuad kebangsaan kita ini.

Tetapi dalam pada masa yang sama, sukar untuk kita mengabaikan peranan penting pemilik JDT, DYAM Tengku Mahkota Johor (TMJ). Sukar untuk kita bayangkan apa akan berlaku kepada bola sepak Malaysia sekarang jika TMJ tidak mengasaskan penubuhan JDT pada tahun 2013. Apa yang bermula sebagai revolusi dalam arena bola sepak Johor telah menular ke luar, merangkumi seluruh negara.

Dengan memimpin perubahan dan peningkatan dalam aspek kemudahan, mentaliti, dan falsafah bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), TMJ telah memacu transformasi yang meluas jauh melebihi sempadan Johor. ‘Kuah’ kemajuan JDT melimpah ke seantero Malaysia.

Kemajuan tidak berlaku tanpa kepahitan kekalahan. 2023 dimulai dengan kenangan pahit kita disingkirkan oleh Thailand dari Piala AFF selepas tewas aksi separuh akhir secara agregat 3-1. Dalam siri persahabatan antarabangsa yang berikutnya, anak buah Kim Pan-gon menonjolkan potensi sebenar dengan meraih empat kemenangan berturut-turut. Paling mencuri tumpuan adalah kemenangan 10-0 melawan Papua New Guinea, apabila bintang JDT Arif Aiman menjaringkan 4 gol.

Keputusan seri 2-2 menentang Syria dan 1-1 menentang China selepas itu memberi tonik keyakinan tambahan kepada kita menjelang aksi Piala Asia AFC 2023.

Kemudian Pestabola Merdeka 2023 memberikan kita peluang unik menentang satu lagi pasukan ranking lebih tinggi: India. Sekali lagi kita membuktikan tahap kompetitif kita sudah di tahap Asia dengan menewaskan India 4-2. Walaupun kita tewas 0-2 kepada Tajikistan dalam final, kita masih mempunyai sebab untuk berasa optimistik. Kerana kita menguasai bola dan menyerang lebih banyak berbanding Tajikistan.

Kesignifikan pencapaian Harimau Malaya sepanjang tahun ini telah membuka mata ramai peminat bola sepak di luar Malaysia. Penyokong Indonesia tidak dapat menyembunyikan rasa cemburu mereka. “Sebenarnya KPG datang Malaysia pada waktu yg mudah. Yang mana JDT adalah kekuatan sebenar Skuad HM,” tulis salah seorang daripada mereka. “Liga kita masih tertinggal jauh sama liga Malaysia. Timnas Malaysia kebanyakan diisi sama pemain JDT yang lagi bagusnya main di liga champion Asia,” tulis seorang lagi.

Ketua jurulatih Chinese Taipei, Gary White turut tidak dapat menafikan sumbangan JDT kepada peningkatan prestasi Malaysia. “Pada saya kelab anda, Johor juga banyak membantu. Johor adalah sebuah kelab yang besar dan melabur banyak wang untuk meningkatkan kualiti permainan dan kini sudah sering bermain di peringkat tertinggi kelab Asia.

“Hasilnya anda kini mempunyai banyak pemain yang berpengalaman beraksi di peringkat antarabangsa dan Arif Aiman adalah salah seorang pemain yang perlu diperhatikan kerana kepantasannya,” kata White ketika sidang media pra-perlawanan sebelum melihat anak buahnya tewas 0-1 kepada Malaysia semalam.

Jika kita menyelusuri perjalanan TMJ dalam arena bola sepak negara sejak 2013, kita akan sedar kita telah melalui sedekad transformasi dari atas sampai bawah.

Sejak penubuhan JDT pada tahun 2013, TMJ telah menyediakan satu landasan yang membawa Harimau Selatan dari menjadi juara domestik kepada ahli tetap AFC Champions League. Apa yang membuat landasan ini lebih menarik, dan beruntungnya kepada FAM, adalah bahawa visi TMJ meluas jauh melampaui batasan JDT.

Metodologi TMJ adalah gabungan pragmatisme, pemikiran holistik, dan keberanian perlaksanaan. Pelaburan baginda tidak terhad kepada JDT sahaja tetapi juga telah meluas kepada Harimau Malaya, baik di dalam dan di luar padang. Walaupun tidak memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), TMJ – tanpa ragu-ragu lagi – merupakan individu paling banyak menyumbang kepada kemajuan skuad kebangsaan. Tiada debat dalam fakta ini.

Impak sumbangan TMJ kepada skuad kebangsaan paling tepat diungkapkan oleh ayam tambatan Harimau Malaya sendiri, Faisal Halim.

Bercakap kepada media semalam, Faisal memberi kredit kepada baginda atas usahanya membuat perubahan dalam bola sepak Malaysia pada 2013. “Sebenarnya kita ada banyak aspek yang membawa kepada perubahan bola sepak Malaysia tetapi pasukan kebangsaan tidak akan berada di tahap di mana kita berada sekarang jika tidak kerana seseorang.

“Kita perlu berterima kasih kepada DYAM Tunku Mahkota Johor disebabkan beliau 10 tahun lepas membuat perubahan dari tahun 2013, bermacam-macam aspek, dari segi fasiliti dan standard liga kita. Dari situ ada perubahan dan kita perlu berterima kasih kepada DYAM Tunku Mahkota Johor kerana tanpa beliau, pasukan kebangsaan tidak akan berada di tahap sekarang,” tambah Faisal lagi.

Kata-kata Faisal melantunkan gema sentimen sama dalam arena bola sepak negara. Bermula sebagai usaha merevolusikan bola sepak Johor, TMJ – secara langsung dan tidak langsung – telah turut merevolusikan bola sepak negara.

Bukan pemain JDT sahaja menerima impaknya, pemain-pemain skuad kebangsaan turut menerimanya. Bukan jurulatih JDT sahaja menerima impaknya, jurulatih skuad kebangsaan turut menerimanya. Bukan penyokong JDT sahaja menerima impaknya, penyokong Harimau Malaya turut menerimanya.

Pengaruh TMJ meluas jauh melampaui aspek teknikal permainan; ia merentasi hingga ke dalam hati dan minda mereka yang mewakili Malaysia di padang.

Sebagai seorang pemain skuad kebangsaan, Faisal menyatakan harapannya bahawa lebih banyak individu seperti TMJ akan muncul untuk menyokong baik kelab-kelab mahupun pasukan kebangsaan. “Saya sebagai pemain bola sepak dan pemain kebangsaan berharap akan ada lagi orang-orang yang seperti DYAM Tunku Mahkota Johor dapat membantu pasukan, kelab dan sudah tentu apabila kelab itu bagus maka pasukan kebangsaan akan lebih bagus.”

Pada tahun 2023 ini, genaplah sedekad TMJ bergelumang dalam arena bola sepak negara. Dalam wawancara baginda di audio siar Keluar Sekejap, baginda membayangkan tidak akan selamanya berada dalam arena bola sepak negara. “Masa itu akan datang dan saya tidak akan selamanya dalam bola sepak,” luah baginda.

Ampun Tuanku. Patik harap itu sahaja janji yang Tuanku tidak kotakan. Demi kemajuan bola sepak Malaysia untuk jangka masa yang lebih lama.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN