Lee Tuck Mahu Pemain Kedah Fokus Untuk Aksi Berdepan Perak

Pemain serangan Kedah Darul Aman (Kedah), Lee Andrew Tuck boleh dianggap berada pada prestasi terbaik beliau ketika ini dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) setelah tampil sedikit suram sejak musim lalu.

Setelah didaftarkan sebagai pemain naturalisasi negara, Lee Tuck tampil sebagai antara pemain yang menjadi kritikan segelintir penyokong Kedah pada awal musim setelah beraksi dengan sedikit hambar di atas padang.

Walaupun begitu, pemain ini perlahan-lahan tampil dengan lebih baik dan aspek ketajaman beliau juga jelas semakin positif sehingga mendapat pujian kembali daripada penyokong San Kenari.

Untuk aksi seterusnya berdepan Perak, pemain kelahiran England itu memasang tekad untuk tampil dengan momentum terbaik di hadapan penyokong sendiri, setelah perlawanan tersebut bakal berlangsung di laman sendiri iaitu Stadium Darul Aman (SDA).

Setakat ini, Lee Tuck boleh dianggap sebagai pemain kunci buat Kedah di bahagian serangan selepas impak yang diberikan dalam setiap perlawanan dihadapi mereka dalam aksi peringkat domestik.

Daripada 12 perlawanan dihadapi Lee Tuck, pemain tengah menyerang ini sudah pun meledak empat gol selain mencipta dua bantuan jaringan bersama Kedah dengan 10 percubaan tepat turut berjaya dilepaskan beliau.

Dua gol terbaharu Lee Tuck dilakar ketika Sang Kenari cemerlang menewaskan Sabah beberapa hari lalu menerusi keputusan penuh 2-1 di Alor Setar.

“Kami pernah menentang Perak FC pada awal musim dan kami mendapat keputusan yang bagus, tetapi untuk perlawanan kali ini saya jangka ia satu saingan yang lebih sengit dan fizikal buat kami.

“Jika kami dapat mengekalkan keupayaan seperti apa yang kami capai pada perlawanan terakhir lalu ketika menentang Sabah FC, saya yakin kami akan dapat meneruskan momentum untuk menambah tiga mata.

“Kami tidak boleh leka dan mengambil mudah pada aksi ini kerana konsistensi dan fokus begitu penting pada ketika ini bagi mengelak keciciran mata seperti apa yang berlaku sebelum ini dan itulah yang kami sedang rancang dan persiapkan melalui latihan,” katanya menerusi Harian Metro.

Pada masa sama, Lee Tuck juga menyifatkan dua jaringan yang dihasilkan beliau ketika bertemu Sabah sebagai suatu inspirasi buat dirinya untuk tampil cemerlang bersama pasukan.

“Perkembangan ini saya rasakan semakin baik untuk diri saya dan ini meningkatkan lagi motivasi dan keyakinan diri yang saya perlukan pada musim ini bersama pasukan.

“Kami mahu tingkatkan lagi persefahaman yang ada ini dan itulah yang kami terus lakukan kini kerana semua pasukan juga sudah pasti akan memperbaiki lagi kemampuan masing-masing memasuki pusingan kedua liga ini.

“Dengan kedudukan terkini di tangga keempat carta liga, saya berharap kami akan tampil dengan lebih bersemangat lagi untuk memulakan aksi pada pusingan kedua,” katanya lagi.

Sumber:
Harian Metro

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN