Pemain muda Manchester United yang dipinjamkan ke Norwich City, Brandon Williams akhirnya membuka mulut mengenai kejadian beliau memeluk Christian Eriksen selepas dijatuhkan pemain tengah Brentford berkenaan.
Minggu lalu, video insiden tersebut tular selepas pemain berusia 21 tahun itu dilihat hampir memukul Eriksen, tetapi akhirnya memilih untuk memeluk lawannya itu selepas menyedari pemain yang menjatuhkannya adalah pemain tengah Denmark tersebut.
Aksi menentang Norwich merupakan perlawanan kompetitif kedua Eriksen sejak pulih dari serangan jantung yang dialaminya ketika kejohanan Euro 2020 tahun lalu.
Brandon Williams was ready to get into it before he realised it was Eriksen who pulled him down 😅 pic.twitter.com/2JlnOGj7V7
— ESPN FC (@ESPNFC) March 5, 2022
“Jelas sekali, insiden itu berlaku terlalu pantas dan tindakan saya itu berdasarkan naluri,” ujar Williams dalam temubualnya bersama SkySports.
“Saya telah melepasinya dan rasa dia menarik dan menjatuhkan saya ke bawah ketika kami sedang melakukan serangan, jadi memang saya betul-betul marah.
“Saya memang nak… tapi lepas tu saya pegang dia dan ingat balik apa yang dia dah lalui [serangan jantung] dan apa yang dia dah lakukan cukup luar biasa, dan sekarang dia telah kembali [bermain].
“Ia cukup istimewa untuk dia berada di atas padang dan apabila terlibat dengan kejadian [dijatuhkan] itu, saya rasa dia perlukan pelukan.
“Ia sesuatu yang tidak mahu dilalui oleh mana-mana pemain, sungguh menakjubkan dia sudah kembali dan ia merupakan pemain yang berkualiti tinggi dan saya pasti dia akan kembali ke tahap terbaiknya tak lama lagi.”
Eriksen kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas kontraknya bersama Inter Milan ditamatkan dengan persetujuan bersama ekoran peraturan di Serie A Itali tidak membenarkan pemain yang mempunyai sejarah serangan jantung beraksi meskipun menggunakan teknologi ICD.
Penjelasan Mengenai ICD, Teknologi Yang Memungkinkan Eriksen Kembali Beraksi
Pemain berusia 30 tahun itu menyasarkan untuk kembali menyarung jersi pasukan kebangsaannya untuk kejohanan Piala Dunia Qatar pada hujung tahun ini.