Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mencuri tumpuan menerusi program pencarian bakat berkualiti di Malaysia, dengan terbaharu mereka melebarkan sayap di Selangor untuk mencungkil bintang muda berpotensi tinggi.
Menerusi laporan kami terima, Akademi JDT telah pun mencipta kolaborasi bersama salah satu kelab di Selangor iaitu FC Setia Alam bawah kendalian jurulatih berpengalaman, Shazwan Wong.
Seperti diketahui, Akademi JDT boleh dianggap sangat aktif ketika ini dalam Malaysia selepas keupayaan mereka untuk mengesan bakat-bakat muda berkualiti di seluruh negara.
Tidak hanya mengesan, para pemain cilik ini juga turut ditapis oleh Diego Griffa menerusi beberapa ujian kelayakan sebelum sah menyarung jersi JDT.
Menerusi laporan kami terima, hampir 600 orang bakat-bakat muda di sekitar Selangor tampil dalam sesi pemilihan tersebut dalam usaha untuk cuba menyertai Akademi JDT.
Daripada 600 orang yang hadir menyertai sesi tersebut, pihak pemantau bakat JDT menyenaraikan 20 nama untuk sesi pemilihan akhir di Johor nanti sebelum sah didaftarkan bawah akademi pasukan tersebut.
“Akademi JDT telah hadir ke Selangor pada 8 serta 9 Jun lalu untuk buat pemilihan pemain muda baharu dengan lebih 600 orang bakat baharu hadir pada sesi tersebut.
“Kehadiran pemain berusia lingkungan 10-14 tahun yang hadir dan lebih kurang 20 orang telah terpilih ke Johor bagi sesi pemilihan akhir sebelum sah menyertai akademi,” jelas beliau kepada kami.
Selain Selangor, JDT sebenarnya telah pun mengadakan banyak proses uji bakat pemain berpotensi untuk diserap masuk akademi mereka di seluruh negara.
Sebelum ini, Terengganu menjadi antara lokasi mereka serta mendapat sambutan cukup menggalakan bawah kelolaan bersama penjaga gol JDT, Izham Tarmizi.
Laporan sebelum ini menyatakan seramai 2000 orang anak-anak muda Terengganu dilaporkan mencuba nasib mereka untuk menyertai Akademi JDT sebelum 14 daripadanya terpilih ke sesi akhir.
Siri jelajah mereka di sekitar utara juga menyaksikan akademi itu berjaya menemui ramai bakat muda berpotensi untuk diserapkan bersama JDT sebelum diasah menjadi lebih baik dalam usaha bergelar bintang profesional.
Kami di Semuanya BOLA berharap kepada adik-adik yang terpilih ini agar tidak leka dan sentiasa berusaha menjadi yang terbaik supaya dapat mengharumkan nama negara pada suatu hari nanti selain cemerlang buat Harimau Selatan.