Walaupun Penang raih tiga mata dalam aksi ke-8 Liga Super pada Ahad, Manzoor Azwira tampak seperti membawa beban yang besar di bahunya.
Barangkali beliau terkesan dengan sorakan penyokong yang menuntut permainan yang lebih berkesan apabila lawan kekurangan seorang pemain.
Antara bait lirik yang kedengaran sayup-sayup disorak penyokong dari jauh berulang-ulang kali adalah, “lawan 10 orang, takkan tak boleh menang.”
Di sidang media, Manzoor menjelaskan tentang salah anggap bahawa main dengan 10 pemain tidak menjadikan pasukan tersebut mudah diratah.
“Mungkin pandangan orang, main [lawan] dengan 10 orang sebenarnya mudah. Kadang-kadang, main dengan 10 orang akan jadi sangat-sangat sukar. Sebagai contoh, kita juga pernah seri di KL, main dengan 10 orang berdepan dengan KL. Patutnya ‘advantage’ ada pada KL,” ungkapnya.
“Saya perlu jelaskan benda ni. Sesetengah pihak anggap, bila main 10 orang dan pasukan itu memiliki pemain yang bagus, bukan sesuatu yang mudah sebenarnya. Kita pasukan yang baharu, bukan alasan tetapi itu kenyataan dan realiti,” jelasnya lagi tentang isu berkaitan menentang 10 orang pemain.
Penang FC raih kemenangan kedua musim ini!#LigaSuper2023 #DemiLigaKita pic.twitter.com/0YxHxR1D8c
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 9, 2023
PDRM terpaksa bermain dengan 10 pemain hampir sejam aksi selepas pemain tengah, Fadi Awad dilayangkan kad merah pada minit ke-41.
Kedudukan perlawanan pada ketika itu, Penang dan PDRM terikat 2-2.
Mujur buat Penang apabila Soony Saad menjelmakan gol jarak jauh menarik untuk membangkitkan semangat rakan sepasukannya pada minit ke-69.
Sebelum itu, walaupun beraksi kekurangan seorang pemain, ‘The Cops’ masih mempamerkan prestasi terpuji dalam bertahan dan juga menyerang.
Pemain gantian, Rahmat Makasuf melengkapkan malam indah Harimau Kumbang dengan gol di hujung perlawanan untuk Penang menang 4-2.
Ini adalah perlawanan kedua berturut-turut Penang memiliki kelebihan seorang pemain di padang. Sebelum ini, ketika tewas 0-1 kepada Kedah Darul Aman, Penang juga menentang 10 pemain lawan selepas bek kanan, Wan Amirul Afiq menerima layangan kad merah pada minit ke-54.
Minggu lepas, Wan Amirul Afiq… minggu ini Fadi Awad pula! 😨
Pemain import PDRM ini dilayangkan kad merah dalam perlawanan menetang Penang selepas mendapat 2 layangan kad kuning.#DemiLigaKita pic.twitter.com/6mFjZCpNqy
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) April 9, 2023
Mungkin bagi sesetengah penyokong, apabila lawan kekurangan pemain, ia akan jadi kelebihan buat pasukan, tetapi realitinya Penang bukan pasukan atasan liga. Dari segi prestasi, Manzoor pernah mengakui yang Penang masih mencari-cari rentak untuk membolehkan pasukan lebih stabil.
Oleh itu, waima pasukan lawan tempang dek kerana kehilangan seorang pemain, bukan semua pasukan mampu memanfaatkan kelebihan tersebut.
“Lepas ni kita akan bermain di Kuching untuk Piala FA, satu lagi aksi yang agak sukar – bermain di tempat lawan. Mungkin akan ada masa tambahan. Dan kita bukannya sebuah kelab yang besar yang mana lengkap dari segi kelengkapan ‘recovery’ untuk semua,” ungkap Manzoor lanjut tentangnya.
“Dan saya harap penyokong kena lebih memahami kerana saya rasa ini bukan satu benda yang mudah,” tambahnya yang mengambil alih sementara pasukan daripada Chong Yee Fatt yang dilaporkan ada masalah kesihatan.
Kemenangan tersebut telah membantu Penang mengukuhkan kedudukan di tangga ke-10 dengan mengumpul lapan mata – tiga mata di depan Perak.