Ezequiel Lavezzi memberitahu wartawan sukan di Naples bahawa beliau mahu bersara di Napoli. Kontrak semasa Lavezzi bersama Hebei Fortune akan berakhir pada akhir tahun ini, 31 Disember 2017.
Buat masa ini tiada lanjutan kontrak oleh Lavezzi di kelab China tersebut. Dan jika Hebei Fortune tidak melanjutkan kontrak Lavezzi ataupun Lavezzi menolak tawaran kontrak, pemain ini akan menjadi ejen bebas pada bulan Januari 2018.
Beliau sudah memberitahu hasratnya untuk menawarkan dirinya pulang semula ke Napoli yang kini sedang dalam landasan terbaik untuk bersaing kejuaraan Serie A di bawah kendalian Maurizio Sarri.
Maurizio Sarri dilaporkan sudah berkira-kira untuk melakukan sedikit tambahan pemain dalam perpindahan Januari ini. Ini untuk memastikan mereka terus mencabar kejuaraan Serie A.
Sebelum ini, pengendali berbangsa Itali itu hanya melakukan pembelian 2 pemain sahaja. Jadi, jika Lavezzi menawarkan diri untuk pulang semula ke Napoli ianya sudah pasti satu perkembangan yang baik.
Lavezzi menyertai Hebei Fortune pada Februari 2016 dengan kontrak sekitar €20 juta setahun. Ejen beliau dilaporkan masih boleh mendapat sekitar €4 juta untuk bayaran agensi bagi perpindahan percuma tersebut.
Namun Lavezzi dikatakan telah berunding untuk tidak mengenakan sebarang bayaran jika Napoli mahukan beliau.
Selain daripada mendapatkan aksi di peringkat tertinggi, Lavezzi pastinya mahu mendapat tempat di dalam skuad Piala Dunia Argentina pada 2018 di Rusia pada tahun hadapan.