11 Oktober 2015. 2.45 pagi. Andorra vs Belgium.
Menentang Andorra yang berada di ranking ke-205 dunia, Belgium dijangka tidak menghadapi masalah untuk menang.
Maka tidak hairanlah apabila ketua jurulatih Belgium, Marc Wilmots menggunakan perlawanan ini untuk memberikan debut kepada adik Romelu Lukaku, Jordan Lukaku yang bermain di posisi bek kiri.
Tetapi selain Jordan Lukaku, Wilmots turut memberikan debut kepada seorang penyerang baru dari kelab yang sedang menduduki tangga ke-2 liga Belgium, KAA Gent.
Namanya Laurent Depoitre.
Bagi sebuah negara yang mempunyai Romelu Lukaku, Christian Benteke, Divock Origi dan Michy Batshuayi sebagai calon penyerang, nama Laurent Depoitre sangat asing di luar Belgium.
Tetapi ada sesuatu yang unik tentang Depoitre. 5 tahun lepas, Depoitre adalah seorang jurutera awam.
Kini beliau merupakan pemain bola sepak profesional. Tottenham Hotspurs dikhabarkan berminat untuk membelinya pada Januari 2016 nanti.
Bermula sebagai pemain amatur
Selepas sekolah menengah, Laurent Depoitre tidak terfikir pun untuk menjadi pemain bola sepak profesional.
“Gred saya dalam matematik dan sains agak bagus. Tapi saya tak tahu kursus pengajian apa yang perlu saya ambil,” kata Depoitre dalam satu temu ramah dengan majalah G Square yang diterbitkan oleh Kolej Politeknik Brussels.
“Mak ayah saya nasihatkan saya masuk ke Politeknik Brussels kerana ada banyak aktiviti sukan.”
Depoitre melihat peluang belajar di Politeknik Brussels sebagai peluang untuk bermain bola sepak juga.
“Masa saya di tahun kedua, barulah saya serius bermain bola sepak. Ketika itu, saya dipilih untuk bermain di Péruwelz FC di liga ke-3 Belgium.”
Mahu menjadi jurutera
Walaupun sibuk bermain bola sepak secara amatur, fokus utama Depoitre tetap untuk menjadi jurutera.
“Matlamat utama saya adalah untuk mendapat ijazah dulu. Lepas dapat ijazah, barulah saya akan fikir sama ada nak tumpukan bola sepak sepenuh masa atau tidak.”
Menjadi pemain bola sepak dan pelajar
Seperti atlet lain yang belajar di universiti, Depoitre terpaksa banyak berkorban masa.
“Sebelum menjadi pemain profesional, kehidupan saya sukar sedikit.”
“Kelas habis pada pukul 6 petang. Kemudian saya perlu pergi ke Péruwelz. Bila saya bermain untuk Eendracht Aalst, saya selalunya sampai pada pukul 6.30 petang.”
“Lepas latihan atau perlawanan, saya buat persiapan untuk kelas esok daripada pukul 10 hingga 11 malam.”
Depoitre mengaku pensyarah dan jurulatihnya pernah memarahinya supaya memilih satu sahaja: ijazah atau bola sepak.
“Pensyarah saya memang tak faham kenapa saya perlu membuat dua perkara serentak (belajar dan bermain bola sepak). Sampaikan kami bergaduh.”
“Jurulatih saya pula tidak suka bila saya datang lewat.”
Tetapi Depoitre berjaya mengimbangi kehidupan sebagai pelajar dan pemain amatur. Selepas 5 tahun berhempas-pulas mengimbangi ijazah dan bola sepak, Depoitre berjaya mendapat ijazah Kejuruteraan Awam.
Mana lebih sukar: ijazah atau bola sepak?
Ketika ditanya antara peperiksaan dan bermain di depan 20,000 orang, situasi manakah yang paling memberi takanan, Depoitre menjawab:
“Di politeknik, saya selalu masuk lambat ke kelas. Jadi saya selalunya tak faham 100% apa yang pensyarah ajar. Bila peperiksaan tiba, saya memang rasa sangat tertekan. Kadang-kala sampai nak gila dibuatnya.”
“Tetapi bila saya di padang, walaupun di depan 20,000 orang, saya tak rasa apa-apa. Saya tak panik. Saya tenang. Belajar memang lebih susah daripada main bola.”
Reaksi ibu bapa
Depoitre berterima kasih kepada ibu bapanya yang memahami pilihan hidupnya.
Walaupun beliau memilih untuk menjadi pemain bola sepak profesional di kelab kecil Belgium, KV Oostende, daripada menjadi jurutera awam.
“Bapa saya juga gilakan sukan. Dia pernah bermain polo air untuk sebuah pasukan divisyen 1 di Tournai dengan bapa saudara saya.”
“Mereka sedar peluang untuk menjadi pemain profesional terlalu unik untuk ditolak.”
Kesimpulan
Depoitre kini merupakan penyerang utama kelab ke-2 terbesar di Belgium, KAA Genk.
Dalam debutnya sebagai penyerang skuad kebangsaan Belgium ketika menentang Andorra, Depoitre berjaya menjaringkan 1 gol.
Seperti Amirizwan Taj yang bermula daripada skuad UiTM, Depoitre membuktikan tidak mustahil bagi seorang pemain bola sepak profesional untuk memiliki ijazah.
Baca juga: Perlukah Pemain Bola Sepak Belajar Sehingga Ke Universiti?