Adakah Gaji Pemain Di Liga Malaysia Terlalu Tinggi?

Nota editor: Kami merujuk kepada status page Harimau Malaya yang mengulas isu gaji pemain Malaysia yang terlalu tinggi.

HM

Beberapa bulan lepas, kami berkesempatan menemu ramah CEO FMLLP, Kevin Ramalingam.

Salah satu soalan kami adalah:

Apa perubahan yang akan berlaku selepas penswastaan liga? Adakah harga tiket akan menjadi murah?

Kevin menjawab soalan kami dengan memberitahu betapa peliknya orang Jepun bila mendapat tahu harga tiket stadium kita sangat murah.

Sedangkan bil gaji pemain J League dengan liga-liga di Malaysia hampir sama.

Kevin menjelaskan purata bil gaji untuk pemain di Malaysia adalah sekitar RM50,000 ke RM60,000 sebulan. Ia hampir sama dengan purata gaji yang diterima pemain di Jepun.

Tetapi di Jepun, harga tiket mencecah RM110. Sedangkan di Malaysia, harga tiket adalah sekitar RM30 sahaja.

Melihat senario ini, admin Harimau Malaya membangkitkan soalan yang bagus: adakah pemain-pemain di liga Malaysia sebenarnya overpaid?

Pengesahan fakta-fakta Kevin Ramalingam

Sebelum kita membincangkan isu ini, ada eloknya jika kita mengesahkan fakta-fakta yang dikemukakan oleh Kevin Ramalingam.

Menurut sumber dari Jepun, purata gaji pemain J League (J1, J2 dan J3) adalah 20,170,000 yen setahun. Ia bersamaan dengan RM713,941.76 atau RM59,495 sebulan.

Ketika ini, pemain J League yang menerima gaji paling tinggi adalah Yasuhito Endo, 35, yang bermain untuk Gamba Osaka. Beliau menerima 15,000,000 yen sebulan atau RM530,943.30 sebulan.

Fakta ini disahkan oleh satu lagi laman web berbahasa Jepun, soccer-money.net.

Untuk pemain tempatan pula, New Straits Times (NST) melaporkan bajet gaji pemain untuk pasukan Selangor adalah RM12 juta setahun.

Menurut NST, bajet gaji Selangor adalah antara yang terkecil di Malaysia.

Ini bermakna bajet gaji untuk pemain Selangor adalah RM1 juta sebulan. Untuk memudahkan perbincangan isu ini, kami membahagikan RM1 juta tersebut kepada 25 pemain Selangor.

Jadi secara kasarnya, purata gaji pemain Selangor adalah RM40,000 sebulan. Perlu diingat, bajet gaji Selangor adalah antara yang terkecil di Malaysia.

Terengganu, Pahang dan JDT mempunyai bajet gaji yang jauh lebih besar daripada Selangor.

Jadi berdasarkan fakta-fakta ini, fakta yang dikemukan oleh CEO FMLLP adalah hampir tepat.

Mengapa gaji pemain di Malaysia tinggi-tinggi belaka?

Satu jawapan yang terlintas di fikiran kami apabila memikirkan mengapa gaji pemain di Malaysia tinggi-tinggi belaka adalah:

Untuk mengelak gejala bookie yang merasuah pemain dan mencemarkan integriti bola sepak.

Dengan gaji tinggi, pemain tiada sebab untuk mengambil rasuah.

Dalam satu sidang media pada tahun 2013, TMJ berpendapat pemain di Malaysia berhak untuk mendapat gaji yang tinggi bersesuaian dengan peredaran zaman.

“Kalau anda mahu hidup cara 70 tahun dulu, silakan. Sekarang tahun 2013. Tahun depan dah 2014. Manusia, kehidupan dan struktur semuanya berubah.”

“Itu mentaliti orang Malaysia. Bagaimana nak maju kalau kita tak matang?”

Dalam satu temu bual dengan BFM 89.9, Safee Sali turut senada dengan TMJ.

“Haters are always gonna hate. Kita bukan merayu untuk dapat gaji macam ini. Itu diberi oleh orang yang menilai kita sendiri.”

“Pemain import ada yang dapat sampai RM200,000. Pemain tempatan baru dapat gaji macam ni pun kita dah menggelabah. Semua dah rimas. Ini semua ada kena-mengena dengan mentaliti kita sebenarnya.”

Jadi mengapa peminat bola sepak tempatan membangkitkan isu pemain kita overpaid?

Kami faham mengapa isu gaji pemain yang overpaid ini timbul.

Isu ini ada kena-mengena dengan kualiti permainan yang dipamerkan oleh pemain-pemain.

Peminat bola sepak tempatan merasakan kualiti persembahan yang ditonjolkan pemain tidak setimpal dengan gaji yang mereka terima.

Sehingga kini, masih ada pemain yang tak boleh menahan bola dengan baik. Ada pemain yang langsung tak boleh menggunakan kaki kirinya (weaker foot). Ada pemain yang lebih banyak berlakon di padang.

Di peringkat antarabangsa, pemain kebangsaan kita pula layu ketika menentang negara yang mundur.

Sedangkan pada zaman kegemilangan bola sepak Malaysia, pemain kita masing-masing mempunyai pekerjaan harian (day job).

Dalam satu temuramah dengan BFM 89.9, Mohd Haniff Manzoor dari Selangor Soccer Fan Club (SSFC) menegaskan gaji tinggi di Malaysia membuatkan pemain Malaysia berada di zon selesa.

“Pemain di Malaysia ada dapat offer bermain di luar negara. Tapi mereka (pemain) patah balik. Sebab tak tahan dengan training. Tak tahan dengan persekitaran di sana.”

“Sebab itu mereka patah balik ke Malaysia. Sebab di Malaysia, macam-macam ada. Mereka main sekadar ada duit. Dah, cukup. Malam pergi enjoy. Dah, cukup.”

Apakah penyelesaian isu ini?

Isu pemain di Malaysia yang menerima gaji terlalu tinggi takkan timbul jika pemain mempamerkan persembahan yang berkualiti di padang.

Jika FMLLP menaikkan harga tiket stadium pun, ia bukan jaminan pasukan akan dapat membayar bil gaji pemain yang tinggi.

Kerana penyokong sentiasa mempunyai kuasa untuk tidak datang ke stadium.

Cara J League

Inilah yang berlaku di J League pada 2011. Pada tahun 2011, jumlah kedatangan penyokong ke stadium merosot 11%.

Ketika jumlah kedatangan penyokong ke stadium merosot, J League tidak menurunkan harga tiket stadium.

Sebaliknya mereka mengumpul data dan membuat kajian.

Hasil kajian J League mendapati, jumlah kehadiran penyokong ke stadium merosot kerana kualiti permainan J League juga merosot.

Menurut kajian mereka, punca-punca kualiti J League merosot adalah:

  • pemain-pemain mudah jatuh,
  • perlawanan tidak rancak dan perlahan,
  • pemain kerap melengah-lengahkan masa semasa pertukaran pemain
  • pemain kerap melengah-lengahkan permainan

Untuk menyelesaikan masalah ini, J League memperkenalkan 4 piagam yang wajib dipatuhi oleh semua pasukan yang bertanding.

Piagam ini ditandatangani oleh chairman, head coach dan kapten setiap pasukan. Ia wajib dipatuhi oleh semua pemain.

Selepas piagam ini dilancarkan, kualiti permainan di J League bertambah baik. Jumlah penyokong yang datang ke stadium juga meningkat selepas itu.

Baca: Bagaimana J League Menyelesaukan Masalah Penurunan Jumlah Penyokong

Apa yang boleh kita lakukan?

Satu perkara yang pasti adalah, kebanyakan gaji yang tinggi akan diberikan kepada pemain import.

Dickson Nwakaeme menerima RM160,000 sebulan. Paulo Rangel menerima RM108,000 sebulan. Vincent Bikana RM73,000 sebulan. El Hadji Diouf menerima antara RM100,000 – 150,000 sebulan.

Tetapi ada juga pemain import yang menerima gaji tinggi tetapi beraksi buruk. Persembahan mereka setaraf pemain tempatan.

Masalah ini boleh dielakkan jika presiden pasukan menyerahkan urusan pemilihan pemain kepada ketua jurulatih.

Ketika ini, ada ejen pemain asing yang akan terus berjumpa dengan presiden pasukan untuk menawarkan calon pemain import.

Ketua jurulatih pula tak tahu-menahu tentang pemain yang dibawa masuk oleh presiden pasukannya.

Apabila pemain tersebut beraksi buruk, presiden senang-senang ‘merehatkan’ ketua jurulatihnya.

Bagi pemain tempatan yang belum pernah mewakili negara pula, kontrak mereka perlulah berorientasikan performance-based bonuses. Semakin bagus persembahan mereka, semakin banyak bonus yang mereka kutip.

Apabila mereka sudah menjadi anggota pasukan kebangsaan, barulah mereka ditawarkan gaji yang tinggi.

Kami percaya isu pemain di Malaysia yang menerima gaji terlalu tinggi takkan timbul jika pemain mempamerkan persembahan yang berkualiti di padang.

Baca juga: Kevin Ramalingam menjelaskan perubahan dan salah faham tentang isu penswastaan liga.

Sumber featured image: Asiana.my

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN