Quantcast

BERITA

KVL M4: Subang United Hukum Kompleks FC Untuk Menang 3-1

Permulaan cemerlang berjaya dicipta Subang United dalam kempen KVL M4 selepas berjaya menewaskan Kompleks FC 3-1 di KV Arena.

Subang United mendapat permulaan impian mereka apabila selepas hanya 5 minit, Naim Jasmin menanduk masuk hantaran lintang ke laluan Amir Hazim yang mudah menampan masuk gol pertama.

Bagaimanapun gol tersebut tidak bertahan lama. Penjaga gol Subang United, Ismafirul Ismail dan seorang pertahanannya gagal mengeluarkan bola tinggi dari kawasan bahaya. Situasi bencana ini memberi peluang kepada pemain Kompleks, Zulhilmi Zakaria peluang untuk mencuri bola sebelum menjaringkan gol penyamaan.

Susulan gol tersebut, Kompleks berjaya menemui keyakinan untuk menguasai penguasaan bola. Bagaimanapun mereka gagal mencipta apa-apa peluang yang produktif daripada penguasaan bola tersebut.

Sebaliknya ia hanya memberi peluang kepada Subang United untuk menunjukkan kebolehan mereka menyerang menerusi serangan balas. Amir Hazim berjaya melepasi beberapa pertahanan susulan daripada serangan balas sebelum menghantar kepada Adib Nasron yang mudah menampan gol ke-2 Subang.

Penjaga gol Kompleks FC, Ramlan Rawadi jelas mempunyai masalah menangani bola tinggi. Sejurus selepas separuh masa kedua bermula, beliau gagal membaca trajektori bola tinggi dari kirinya untuk menghadiahkan peluang buat Subang. Tetapi Naim Jasmin dan Faris Rahani gagal memanfaatkan peluang tersebut.

Kemasukan pemain gantian banyak membantu Kompleks untuk mengancam Subang. Pertama, larian cemerlang Nik Ahmad Khatame gagal ditangani pertahanan Subang untuk memberikannya peluang mencuba, tetapi digagalkan oleh teknik penyudahnya. Nur Ariff Tambi juga gagal pada 8 minit kemudian.

Ketumpulan penyudah Kompleks ini kemudiannya dimanfaatkan oleh Subang United. Pemain gantian, Farhan Jasmin menerima bola di tengah untuk berdepan dengan Ramlan dalam situasi 1 lawan 1 sebelum menewaskannya dengan penyudah tepat kaki kirinya.