Quantcast

BERITA

KVL M4: Jan FC Tumbangkan Red Spade United 3-1, Boleh Jaring Lebih Banyak

Laporan oleh: Azri Firman Aqil

Jan FC menampilkan persembahan menyerang konvensional menewaskan Red Spade United 3-1 untuk memulakan kempen KVL M4 mereka dengan cemerlang di KV Arena.

Jan FC berpeluang menjaringkan gol pertama seawal minit ke-3 jika tidak kerana kegagalan M. Sugunthan yang gagal melakukan penyudah baik susulan sepakan percuma untuk menyepak terus ke dakapan penjaga gol lawan, Afiq Rahimi.

4 minit kemudian, Shihaam Sukri mencuba nasibnya dari luar kotak penalti. Bagaimanapun percubaan pemain Red Spade ini melewati palang beberapa inci.

Taktikal Jan yang bermain dengan tempo pantas dan hantaran-hantaran jauh nyata memberi banyak masalah buat Red Spade yang bergelut menangani kepantasan 3 penyerang Jan. Mereka mempunyai 3 peluang, 2 daripadanya peluang SR Thevaraj dan Naraintharan yang lebih sukar untuk disia-siakan berbanding dijaringkan.

Red Spade mengambil kesempatan ini untuk menghukum Jan. Bermula daripada kegagalan penjaga gol Jan, R. Yugentaran yang gagal menangkap kemas sepakan percuma Zahiruddin Ghazali, Lylia Hafiy memanfaatkan situasi tersebut untuk menampan bola muntah.

Jan akhirnya berjaya menebus kealpaan mereka pada minit ke-31. Kelajuan Thevaraj gagal disaingi 2 pertahanan Red Spade untuk menyudahkan lorongan bola cantik untuk gol penyamaan Jan.

Sebelum separuh masa pertama berakhir, Jan menambah gol kedua. Thevaraj sekali lagi memanfaatkan kelajuan lariannya selepas menewaskan perangkap ofsaid untuk menjadi pembekal gol pula. Kali ini, beliau memilih untuk menghantar bola ke Naraintharan yang mudah menampan masuk gol kedua pasukan mereka.

6 minit selepas separuh masa kedua bermula, SR Thevaraj menjaringkan gol kedua peribadinya menerusi tampanan hantaran lintang kiri dari K. Suganesvaran.

Mendahului lawan 3-1, Jan dengan tidak semena-mena menyusahkan diri mereka sendiri apabila pertama; Naraintharan gagal menyempurnakan peluang terbuka dan kedua; SR Rubinedran melakukan dua kekasaran tak perlu untuk dibuang padang.

Situasi menjadi bertambah buruk apabila A. Sureshkumar pula terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan tangan pada lewat permainan. Ini memaksa Jan beraksi dengan 9 pemain. Tetapi mereka kental bertahan untuk membawa pulang 3 mata yang sememangnya berhak untuk mereka.