Shah Alam Antlers memberi dos realiti kepada pendahulu liga, Jan FC selepas berjaya menumbangkan lawan mereka 3-0 dalam perlawanan minggu ke-3 Klang Valley League (KVL) M4 yang ditamatkan awal kerana cuaca buruk.
Peluang pertama perlawanan hadir agak lama selepas dimulakan dengan Jan FC mendominasi aksi-aksi awal. Antlers bagaimanapun, pasukan pertama yang menjaringkan gol. Menerima hantaran cantik dari kanan, Lukman Hakim kemudiannya menyudahkan peluang tersebut dengan kemas.
Ketinggalan 0-1, Jan berpeluang menyamakan kedudukan dengan segera. SR Thevaraj memanfaatkan bola lolos susulan hantaran lintang sebelum merembat. Ketika bola nampak seperti boleh menerjah jaring, muncul Henry Albert yang cemerlang menghadang rembatan tersebut dengan kakinya.
Selepas itu, Antlers mengancam menerusi larian cemerlang Salihan Jamil di sebelah kiri. Beliau kemudiannya dibenarkan oleh pertahanan Jan untuk meneruskan larian sehingga ke kawasan near post sebelum melorongkan bola kepada Sherif Ahmed Moustafa yang menyudahkannya dengan tenang dan tepat.
2-0 mendahului, selera Salihan Jamil semakin besar. Kali ini beliau menyambut hantaran jauh rakan sepasukannya, menewaskan perangkap ofsaid sebelum menyudahkan peluang dengan tenang melepasi penjaga gol Jan, R. Yugentaran.
Pada separuh masa kedua, Jan bermain lebih baik dan mempunyai penguasaan bola majoriti. Tetapi tidak mempunyai ketajaman serangan Antlers. Pujian juga harus diberikan kepada aksi penjaga gol Antlers, Amirul Haziq Amran yang beberapa kali dapat membaca dan memintas hantaran-hantaran Jan.
Dengan guruh yang berdentum kuat, pengadil yang pada awalnya mahu menghentikan seketika perlawanan yang berbaki 10 minit membunyikan wisel penamat selepas kedua-dua pasukan bersetuju menamatkan terus perlawanan.
Kemenangan ini menebus kekecewaan Antlers yang sekadar seri 0-0 pada minggu lepas.