Quantcast

BERITA

KVL M4: Pertahanan Kental AX FC Buat Shah Alam Antlers Putih Mata

Impian Shah Alam Antlers untuk meneruskan rentak cemerlang mereka susulan kemenangan pada minggu pertama KVL M4 tidak kesampaian apabila diikat seri 0-0 oleh AX FC.

AX yang beraksi dengan 10 pemain pada keseluruhan besar perlawanan boleh berbangga dengan cara mereka mempertahankan kubu mereka. Ini kerana seawal minit ke-3, Antlers mengancam menerusi Megat Rafie yang menerima lorongan cantik dari Sherif Moustafa. Mujur penjaga gol AX, P. Surendran pantas menyelamatkan keadaan.

5 minit kemudian, Faris Syazwan mencuri bola dari pertahanan AX dan membuat hantaran lintang untuk Adam Nizam. Tetapi rembatan penyerang berambut kuning itu tersasar jauh.

Separuh masa pertama menjadi milik Antlers sepenuhnya. Sherif berpotensi membuka akaun jaringannya dalam KVL M4 pada minit ke-18. Bagaimanapun palang gol menafikan usahanya.

Hala tuju perlawanan berubah pada minit ke-28 apabila pemain sayap AX, M. Suthan tiba-tiba menyiku kepala Aiman Sirajuddin. Insiden buruk ini membuatkan Suthan dibuang padang, manakala Aiman terpaksa dikeluarkan berikutan pendarahan di kepalanya.

Skrip separuh masa kedua bermula sebagaimana separuh masa pertama dengan Antlers menyerang dan AX bertahan.

Bagaimanapun AX tetap mampu menampilkan bahaya mereka – disebalik kekurangan 1 pemain – apabila beberapa kali mengancam jentera pertahanan Antlers yang dikawal oleh Azeem Azhar menerusi serangan balas pantas.

Pada minit ke-49, Salihan Jamil berpotensi menambah gol ke-4 peribadinya dalam liga apabila mengambil sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil. Bagaimanapun beliau gagal apabila sepakannya meliar ke tepi.

AX mempunyai peluang untuk menghukum ketumpulan jentera serangan Antlers sekitar minit ke-60. Lavindran mengetuai serangan balas AX yang gagal dihentikan Antlers. Tetapi percubaannya melayang tinggi.

Salihan cuba menebus kegagalan penaltinya dengan menewaskan 2 pertahanan AX di sayap kanan untuk melorongkan bola cantik kepada Faris Syazwan. Tetapi tekanan pertahanan kepada Faris sudah cukup untuk memesongkan arah rembatannya dari sasaran sebenar.

Seminit kemudian, pemain tengah gantian Antlers, Amirul Syafieq menghantar lambungan bola cantik kepada Sherif di sebelah kanan. Tetapi percubaan Sherif tersasar – sekaligus menamatkan peluang terakhir Antlers untuk mengutip 3 mata.

Penyerang Shah Alam Antlers, Sherif Moustafa gagal memecah kebuntuan ketika menentang AX FC.

Antlers pastinya tertanya-tanya apa yang berlaku dengan penyudah jentera serangan mereka selepas persembahan cemerlang pada minggu lepas. AX pula pastinya menarik nafas lega pulang dengan 1 mata.