Quantcast

BERITA

KVL M4: Red Spade United & Kompleks FC Bazir Peluang, Sekadar Seri 1-1

Red Spade United dan Kompleks FC masing-masing terpaksa berpuas hati dengan 1 mata selepas terikat 1-1 dalam perlawanan minggu ke-3 Klang Valley League (KVL) M4 yang menghiburkan di Stadium Mini Shah Alam.

Sebaik perlawanan dimulakan, Kompleks FC paling hampir menjaringkan gol dahulu. Aliff Najmi sempat mengesan posisi penjaga gol Red Spade yang terlalu ke depan sebelum meledak rembatan dari luar kotak yang berjaya menewaskan penjaga gol – tetapi tidak untuk palang gol.

Percubaan menarik itu seakan menyedarkan Red Spade yang bermain lebih baik selepas itu. Dengan kedua-dua pasukan memasang garisan defensif tinggi, kelajuan penyerang masing-masing menyukarkan pertahanan.

Cuma mujur bagi pertahanan kedua-dua pasukan, hantaran akhir jentera serangan lawan masing-masing agak mengecewakan. Cuaca yang berangin yang melambatkan pergerakan bola juga membantu pertahanan.

Sebelum rehat separuh masa pertama, Red Spade mendapat sepakan penalti selepas Farhan Nasruddin dijatuhkan dalam kotak penalti. Ammar Shabil tampil ke depan untuk mengambil sepakan penalti tersebut, tetapi berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Kompleks, Ramlan Rawadi.

Kegembiraan Kompleks bagaimanapun tidak bertahan lama selepas itu apabila Shafit Mujahid Ali menanduk bola dari hantaran lintang dengan sempurna untuk gol pendahuluan Red Spade.

Selepas separuh masa kedua bermula, perlawanan menjadi terbuka seperti yang dijangka. Peluang gol bagaimanapun jarang-jarang terjelma.

Pada minit ke-50, giliran Kompleks pula mendapat penalti selepas Aliff dijatuhkan dalam kotak penalti. Zulaizat Abu Kasim langsung tidak melakukan sebarang kesilapan untuk menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti tersebut.

Iylia Hafiy kemudiannya berpeluang untuk mengembalikan pendahuluan Red Spade pada 10 minit terakhir perlawanan selepas berjaya menembusi pertahanan Kompleks di sebelah kanan. Bagaimanapun percubaannya berjaya diselamatkan Ramlan.

Kompleks juga mempunyai peluangnya sendiri. Pemain gantian, Shamsul Asyrat menggelecek dari kiri untuk melorongkan bola kepada Aliff. Penyudah Aliff bagaimanapun sangat mengecewakan apabila bola melencong liar jauh dari gawang gol.

Pada masa kecederaan, Red Spade hanya boleh menyalahkan diri sendiri atas kegagalan mereka untuk mnejaringkan gol kemenangan. Larian bijak dan hantaran lintang Iylia Hafiy di sebelah kanan berjaya menemui penyerang gantian Ilman Hakim.

Sayang seribu kali sayang, Ilman yang mempunyai masa dan ruang untuk menjaringkan gol, hanya mampu merembat liar jauh dari sasaran. Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.