Laporan oleh: Azri Firman Aqil
Perlima United dan AZE FC masing-masing terpaksa berpuas hati dengan 1 mata selepas tamat 90 minit aksi yang menghambarkan.
Perlawanan bermula dengan kedua-dua pasukan agak berhati-hati, menyebabkan penguasaan bola menjadi 50-50. Perlima dan AZE cuba menghadirkan bahaya di kubu lawan masing-masing, tetapi tiada sebarang peluang jelas dijelmakan dalam masa 20 minit pertama.
Apabila peluang jelas pertama tercipta, Perlima United tidak mensia-siakannya. Hantaran lintang tinggi Faiz Mohamad dari sayap kanan melepasi capaian penjaga gol AZE, Nik Najmee untuk menemui tampanan Mazlan Palar untuk gol Perlima United.
Hanya 4 minit kemudian, Faiz Mohamad yang berkali-kali memberi mimpi ngeri kepada bek kiri AZE melakukan satu lagi hantaran lintang cantik. Ia sekali lagi menemui Mazlan Palar yang mempunyai banyak ruang dan masa untuk menyudahkannya, tetapi hampa dengan teknik buruknya. Faris Daniel kemudiannya berjaya menghalakan percubaan Mazlan tepat ke sasaran. Tetapi Nik Najmee menafikannya dengan aksi menyelamat cemerlang.
AZE menunjukkan bibit-bit kebangkitan lewat separuh masa pertama. Bagaimanapun, pertahanan Perlima United, Ziyadh Haziq mengeluarkan bola pada saat-saat terakhir dari pintu golnya sebelum bola singgah ke kaki pemain AZE, Che Baihaqi Irfan. Bola tersebut dipindahkan ke Azman Othman yang berada di kanannya yang merembat tinggi, sekaligus mensia-siakan peluang terbaik pasukan mereka.
Selepas separuh masa kedua bermula, AZE bermula garang dan berjaya memberi tekanan demi tekanan kepada Perlima United yang terdesak mempertahankan kelebihan 1 gol mereka. Akhirnya AZE berjaya menyamakan kedudukan 10 minit kemudian apabila lorongan bola menemui larian Azman Othman yang menewaskan perangkap ofsaid untuk gol penyamaan.
Kedua-dua pasukan cuba mencari gol kemenangan, lebih-lebih lagi Perlima United yang menyudahkan perlawanan dengan lebih meyakinkan. Tetapi hantaran-hantaran terakhir mereka di zon final third amat mengecewakan untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan seri 1-1.