Quantcast

BERITA

KVL M4: Antlers Belasah Jiran Shah Alam Mereka, Celtic 6-0

Laporan oleh: Azri Firman Aqil

Persembahan dominan Shah Alam Antlers menyaksikan mereka berjaya membenam jiran mereka, Shah Alam Celtic dengan bergaya menerusi kemenangan 6-0 dalam perlawanan sulung kempen KVL M4 mereka.

Separuh masa pertama milik Antlers sepenuhnya. Mereka mengurung Celtic dalam kawasan padang mereka sendiri melalui siri-siri serangan berterusan. Penyerang Antlers, Sherif Moustafa merembat percubaan pertama pasukannya dari sudut sukar pada minit ke-6 – sebagai amaran pertama pasukannya kepada Celtic.

Antlers meneruskan tekanan dan hasilnya pada minit ke-12, mereka mendapat gol pertama apabila Khairil Iskandar dijatuhkan dalam kawasan penalti. Penjaga gol Celtic, Shaharuddin Lazim meneka arah sepakan penalti Henry Albert dengan betul. Tetapi sepakan Albert terlalu kuat dan tepat untuk ditepis keluar.

Antlers meneruskan usaha menambah gol selepas itu. Khairil sendiri hampir-hampir menambah gol kedua pasukannya jika tidak kerana kecemerlangan Shahruddin menafikan percubaannya. Penjaga gol Celtic itu terlibat sekali lagi apabila berjaya menepis keluar percubaan rendah Sherif beberapa minit kemudian.

Celtic mengambil masa hampir 23 minit sebelum mampu menyerang Antlers. Huzairul Ikram melorongkan bola cantik ke laluan Khairul Zaki. Tetapi penjaga gol Antlers, Amirul Haziq berjaya membaca permainan dan mengeluarkan bola sebelum Khairul Zaki boleh berbuat apa-apa.

4 minit kemudian, Antlers menggandakan gol mereka. Hantaran lintang rendah dari sayap kiri berjaya menemui tampanan Adam Nizam yang muncul di kawasan near post dari entah dari mana.

Mendahului 2-0, Antlers memulakan separuh masa kedua dengan tempo yang lebih rendah untuk mengekalkan penguasaan bola. Di sebalik keghairahan Celtic untuk mencabar, Antlers jelas berada satu kelas di atas jiran mereka apabila langsung tidak nampak goyah.

Penghujung 10 minit perlawanan adalah masa di mana Antlers benar-benar tidak menunjukkan sebarang belas kasihan kepada Celtic. Ia juga adalah masa di mana Sherif menampilkan persembahan memukau menerusi 4 bantuan gol berturut-turut.

Pertama, penyerang kelahiran Mesir itu menemui Megat Rafie yang merembat kuat gol ketiga Antlers ke bumbung jaring pintu gol.

2 minit kemudian, Sherif menemui Salihan Jamil yang baru dimasukkan di sebelah kanan. Salihan memanfaatkan keletihan pertahanan Celtic untuk berlari menewaskan penjaga gol mereka sebelum menyudahkan dari sudut sukar.

Gol ke-5 Antlers bagaikan replika gol ke-4 mereka. Cuma kali ini ia berlaku di sayap kiri. Sherif menemui Salihan yang sekali lagi menyudahkan peluang dari sudut sukar.

Ketika perlawanan menuju masa tambahan, Salihan melengkapkan hatriknya selepas pertukaran hantaran satu-dua yang kemas membolehkannya menewaskan Shaharuddin menerusi rembatan rendah.