Penyerang baharu Sabah iaitu Ramon Machado sedia ranapkan peluang tiga mata buat Selangor, jika pemain import tersebut tidak dikawal rapi oleh pertahanan The Red Giants.
Selangor bakal mengharungi aksi Liga Super malam ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk melayan kunjungan Sabah dalam misi untuk mendapatkan tiga mata seterusnya.
Selepas cemerlang menewaskan Penang pada minggu lalu di laman sendiri, kini skuad kendalian Tan Cheng Hoe pastinya berkobar-kobar untuk menghadapi aksi seterusnya pula berdepan Sabah.
Musim ini, Selangor tampil lebih baik di segenap posisi untuk menjadi sebagai antara pasukan terkuat dalam saingan Liga Super menerusi corak permainan berkualiti dipamerkan.
Berkelebihan beraksi di laman sendiri, pastinya skuad kendalian Tan Cheng Hoe tidak mahu melepaskan peluang untuk meraih kemenangan serta memastikan tiga mata dapat dibawa pulang untuk mengukuhkan kedudukan semasa dalam carta liga.
Tambahan pula, Selangor turut menambah kekuatan baharu mereka pada jendela perpindahan kedua ini dengan berjaya menandatangani dua pemain import baharu untuk memperkukuhkan posisi The Red Giants.
Dua pemain import baharu ditandatangani Selangor kini ialah Safuwan Baharudin di posisi tengah bertahan serta penyerang dari Ghana, Richmond Boakye.
Walaupun begitu, Sabah juga perlu diberi perhatian kini kerana mereka juga turut membuat sedikit rombakan dan penyerang import pasukan tersebut kini paling mencuri perhatian.
Sabah yang sedikit bergelut dengan kualiti penyudah pada awal musim berjaya menandatangani khidmat penyerang baharu mereka dari Brazil iaitu Ramon Machado.
Kelibat penyerang itu tidak mengambil masa yang lama untuk meninggalkan impak selepas tiga jaringan sudah pun dihasilkan daripada dua perlawanan diharungi Sabah setakat ini dalam aksi Liga Super.
Bekas penyerang Esportivo ini jelas sangat tajam di posisi serangan Sabah menerusi kelincahan dipamerkan beliau untuk mengatasi pertahanan lawan serta berada di kedudukan tepat untuk menerima umpanan daripada rakan sepasukan.
Machado juga dilihat cepat menyesuaikan diri bersama rakan sepasukan lain serta faham kehendak yang diinginkan oleh pengendali kelab, Datuk Ong Kim Swee di atas padang.
Pastinya barisan pertahanan Selangor memahami tugas mereka untuk aksi malam ini dengan mengekang sehabis baik Machado daripada membiarkan beliau bebas di atas padang serta mendapat peluang meledak gol.