Kuala Lumpur FA pulang dengan 1 mata selepas penyerang Guilherme de Paula menyamakan kedudukan 10 minit sebelum perlawanan tamat ketika menentang UiTM FC dalam aksi Liga Perdana yang menghiburkan di Stadium Selayang malam tadi.
Tampil untuk mempertahankan rekod kemenangan 100% mereka dalam 2 perlawanan sebelum ini, Kuala Lumpur turun dengan formasi 4-3-3 tipikal mereka.
Hanya 1 perubahan yang dibuat oleh ketua jurulatih Kuala Lumpur, Wanderly Junior: Hafiz Johar menggantikan Arif Anwar di posisi penyerang sayap kanan.
UiTM yang belum pernah menghabiskan 90 minit permainan dalam 2 perlawanan liga sebelum ini (2 perlawanan mereka sebelum ini ditunda kerana masalah cuaca) turun dengan formasi 5-3-2.
UiTM menang pertarungan taktikal
Di atas kertas, UiTM mungkin bukan pasukan pilihan. Tetapi ketua jurulatih UiTM, Wan Mustaffa ternyata nampak lebih bersedia dari segi pertarungan taktikal berbanding rakan sejawatnya di Kuala Lumpur, Wanderly Junior.
Sistem 5-3-2 yang diterapkan dalam UiTM mungkin bermakna Kuala Lumpur akan lebih menguasai bola. Tetapi ia juga bermakna Kuala Lumpur lebih banyak terdedah kepada serangan balas UiTM.
Seawal minit pertama lagi UiTM sudah mempunyai peluang menjaringkan gol. Bagaimanapun percubaan leret dan lemah penyerang import UiTM dari Nigeria, Akanni Sunday tenang diselamatkan dalam dakapan penjaga gol Kuala Lumpur, Ramezey Che Ros.
Seminit kemudian, Sunday mendapat peluang lagi dari kawasan sama – half space kanan. Bagaimanapun percubaannya mudah dihalang pertahanan Kuala Lumpur.
Kuala Lumpur mengawal perlawanan lebih baik selepas dikejutkan dengan 2 serangan balas UiTM. Bagaimanapun seperti yang kami tulis, Kuala Lumpur tiada jawapan untuk memecah sistem pertahanan 5-3-2 UiTM yang diketuai oleh Onoriode Kugghegbe.
Marcel N’Guessan jeneral tengah padang UiTM
Situasi menjadi lebih buruk buat Kuala Lumpur apabila tiada seorang pun daripada trio tengah mereka (Nicolas Alejandro, Zhafri Yahya dan Madibo Konte) tidak mengawal pemain tengah UiTM Marcel N’Guessan apabila mereka hilang bola.
Kerap mematahkan serangan Kuala Lumpur, tenang mengawal bola dan bijak mengatur serangan balas untuk 2 penyerang UiTM (Akanni Sunday dan Raslam Khan), Marcel jelas menjadi tunjang dan nadi UiTM.
Jika tidak kerana ketumpulan penyudah Sunday dan Raslam, UiTM sudah boleh mendahului Kuala Lumpur dengan sekurang-kurangnya 2 gol.
Menyedari kelemahan ini, Wan Mustaffa mengarahkan Raslam untuk bertukar posisi dengan pemain import UiTM dari Korea Selatan, Do Dong-hyun. Ini bermakna Dong-hyun kini berpasangan dengan Sunday di bahagian serangan.
Pertukaran ini membuahkan hasil.
Kebolehan Dong-hyun menggelecek dan mencipta peluang nyata memeningkan kepala pertahanan Kuala Lumpur. Tetapi sekali lagi kegagalan Sunday menyudahkan peluang menyebabkan perlawanan masih terikat 0-0.
Kuala Lumpur tingkatkan tempo separuh masa kedua
Masuk separuh masa kedua, Wanderly Junior segera membuat pertukaran pemain dan perubahan taktikal. Ashri Chuchu dan Irfan Zakaria dimasukkan. Manakala Zaiful Abdul Halim dan Azmeer Yusof dikeluarkan.
Dengan memasukkan dua penyerang sayap untuk menggantikan dua bek sisi, ini merupakan petanda jelas Kuala Lumpur mahu menyerang.
Bagaimanapun UiTM yang menunjukkan peningkatan ketara terlebih dahulu.
Barangkali baru sedar dari lamunan, Sunday akhirnya menyudahkan juga satu peluang hasil tampanan jarak dekat yang berpunca dari rembatan jarak jauh Nik Syafiq.
Ketinggalan 0-1, Kuala Lumpur mula meningkatkan tempo serangan. Hantaran mereka mula dilajukan. Gerakan trio penyerang, Guilherme de Paula, Manaf Mamat dan Arif Anwar mula dipelbagaikan.
Akhirnya barulah sistem 5 pertahanan UiTM nampak terancam.
Ketika perlawanan tinggal 10 minit untuk habis, Guilherme de Paula membuat rembatan leret dalam kotak penalti untuk menyamakan kedudukan 1-1. Semuanya berpunca dari situasi kelam-kabut dalam kotak penalti UiTM yang dicetuskan oleh peningkatan tempo serangan Kuala Lumpur.
Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan. UiTM mungkin akan menyesali kegagalan mereka menyudahkan peluang pada separuh masa pertama.
Tetapi bagi Kuala Lumpur; mereka perlu tahu banyak lagi kerja yang mereka perlu lakukan untuk kekal menerajui Liga Perdana 2017.