Melalui satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 15 Mei lalu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingham mengesahkan seramai 147 orang bekas pemain dari lima pasukan bola sepak yang telah tutup di negara ini telah diluluskan untuk menerima geran bantuan di antara AS$1,227.67 (RM5,000) hingga AS$9,227.67 (RM38,000) setiap seorang daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Bantuan tersebut adalah hasil daripada program ‘FIFA Fund for Football Players’ atau lebih dikenali sebagai FIFA FFP yang diwujudkan pada 2020 menerusi kerjasama FIFA dan Persekutuan Antarabangsa Pemain Bola Sepak Profesional (FIFPro).
Kelab manakah yang dipercayai terlibat dengan jumlah pampasan besar ini? Berikut adalah lima kelab bola sepak dari Malaysia yang dipercayai menjadi penyumbang kes FIFA FFP dari negara ini.
Terengganu City FC
Pada Mei 2019, PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengarahkan juara Liga FAM 2018, Terengganu City FC (TCFC) untuk menyelesaikan tunggakan gaji sebanyak RM411,900 membabitkan bekas pemain kelab itu. Sebelum itu dalam satu laporan berlainan, hutang membabitkan Terengganu City FC pernah mencecah jumlah RM977,100
Terengganu City yang sepatutnya beraksi di saingan Liga Perdana terpaksa menarik diri ekoran kegagalan pasukan itu menyelesaikan tuntutan gaji serta menyediakan laporan kewangan untuk musim ini.
Dua Pemain Terengganu City FC Masih Belum Terima Bayaran Tunggakan Gaji Daripada FAM – https://t.co/4mEdPs4Fq8 pic.twitter.com/LAlNwtIhrx
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) March 22, 2019
Ia sekaligus menyaksikan tempat mereka ‘dihadiahkan’ kepada Perlis yang akhirnya turut disingkirkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada penghujung Mac lalu atas masalah sama iaitu tunggakan gaji.
Perlis FA
Pada Jun 2019, 14 bekas pemain skuad singa utara hadir di Pejabat Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) bagi membuat aduan terhadap tunggakan gaji mereka selama tiga bulan ketika bersama Pasukan Perlis untuk musim 2019.
Menurut bekas penyerang skuad kebangsaan, Safee Sali, beliau dan rakan-rakannya tetap menuntut hak mereka kerana mahukan pengurusan setiap pasukan menghormati kontrak yang sudah ditandatangani meskipun pasukan Perlis sudah dibatalkan penyertaan.
Piya dan Safee Sali sah angkat kaki dari Perlis FA akibat isu tunggakkan gaji yang tiada noktahnya. pic.twitter.com/m80dgiq0ld
— Gosip Liga M (@GosipLigaM) February 18, 2019
Keadaan sangat mendesak menyebabkan sebahagian daripada pemain berubah angin menjadi nelayan, kerani dan mengambil upah mencuci kereta setelah tidak menerima tunggakan gaji dalam tempoh sembilan bulan itu.
PFA tampil sebagai pengganti Terengganu FC di saingan Liga Premier pada 2019, dan tampil dengan projek besar. Ia akhirnya tidak menjadi kenyataan akibat salah tadbir urus membuta tuli sehingga menyebabkan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dibebani hutang mencecah hampir RM4 juta.
Marcerra Utd & Kuantan FA
Walaupun telah beberapa kali didesak oleh barisan pemain, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), dan media sebelum ini, Marcerra Kuantan FA ibarat kebal peraturan. Mereka senyap dan buat tidak tahu setiap kali isu mengenai tunggakan gaji dibangkitkan.
Namun selepas diancam akan diambil tindakan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (ketika itu dikenali sebagai FMLLP), Presiden Marcerra United ketika itu, Dato’ Sri Dr Feardaus Khairuddin, berkata kelewatan pembayaran gaji pemain dan jurulatih adalah berpunca daripada proses pengambil alihan yang belum selesai di antara pihaknya dengan Kuantan FA.
147 bekas pemain pasukan yang dah tutup difahamkan T'ganu City FC, Perlis, Marcerra Utd, Kuantan FA dan Hanelang FC dapat 'duit raya' apabila menerima geran bantuan antara 5k hingga 38k setiap seorang drp FIFA hasil usaha FAM & PFAM membabitkan tunggakan gaji Julai 2015-Jun 2020.
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) May 15, 2021
Kes hutang pemain membabitkan Marcerra Utd adalah antara yang memberi kesan, sehingga ada pemain yang meninggalkan karier sebagai pemain bola sepak.
Kes tersebut berlanjutan sehingga ke tahun ini apabila pada Februari lalu masih terdapat di antara bekas pemain Marcerra United dan Kuantan FA masih belum menerima gaji mereka walaupun dua pasukan itu tidak lagi beraksi dalam saingan Liga Malaysia.
Hanelang FC
Berdasarkan kenyataan FAM bertarikh 13 November 2018, Hanelang FC berhutang dengan 20 orang pemain dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1 juta.
Kemelut tunggakan gaji yang melanda kelab dari Terengganu, Hanelang FC dilihat sukar untuk diselesaikan kerana pasukan berkenaan bukan diuruskan Persatuan Bolasepak Daerah Hulu Terengganu (PBSDHT), sebaliknya sebuah syarikat.
PFAM mewakili para pemain di Mesyuarat Jawatankuasa Status FAM bagi tuntutan tunggakan gaji & penamatan sebelah pihak. Pemain-pemain yang diwakili adalah daripada pasukan Marcerra United, Hanelang FC, Terengganu City & Kuantan FA. Keputusan kes akan diumumkan pada minggu hadapan. pic.twitter.com/WKuu1ZbxqN
— PFA Malaysia 🇲🇾 (@pfamalaysia) November 1, 2018
Bagaimanapun bermula pada 2018, kelab itu diambil alih sebuah syarikat yang sedia mengurus dan penaja skuad terbabit selepas kerajaan negeri mengumumkan tidak mampu lagi untuk menguruskan pasukan itu yang beraksi dalam saingan Liga FAM .
Rumusan
Masalah pembayaran gaji dari lima kelab membabitkan 147 pemain ini kini dianggap selesai selepas menerima bantuan daripada program ‘FIFA Fund for Football Players’ atau lebih dikenali sebagai FIFA FFP.
Beberapa langkah proaktif juga telah diambil daripada MFL dan FAM yang mewajibkan kelab bola sepak diswastakan selain pelaksanaan program kawalan kewangan (ECP) di mana peraturan kewangan kegunaan pasukan secara keseluruhan dibentuk.
Sejauh mana keberkesanan langkah ini setakat ini? Walaupun telah diswastakan dan dengan pelaksanaan ECP, musim ini kita menyaksikan Perak FC dan terbaru Sarawak United turut masih mengalami masalah pembayaran gaji pemain.
Wajarkah FAM dan MFL menghalang terus pasukan bermasalah pembayaran gaji dari beraksi di Liga Malaysia sepertimana tindakan yang diambil terhadap Perlis sebelum ini dilakukan?
Satu perkara yang pasti, kita tidak mahu melihat dana FIFA FFP terus didominasi oleh kelab-kelab dari Malaysia.
Baca artikel lain mengenai masalah pembayaran gaji Liga Malaysia melalui pautan berikut:
‘Tolong Kami, Bantu Kami’ – Perak FC Cari Penaja Untuk Selesai Isu Tunggakan Gaji