Pasukan Dari Utara Tanah Air Sudah Alami Masalah Gaji?

Arena Metro pada hari ini melalui satu laporan mendedahkan sebuah pasukan berstatus Liga Super sudah mengalami masalah pembayaran gaji pemain dan kakitangan pasukan.

Perkara itu agak mengejutkan mengambil kira Liga Malaysia belum pun lagi bermula, namun ‘wabak culas membayar gaji’ sudah mulai berlaku.

Malah pasukan yang tidak dinamakan tersebut dikatakan pasukan berstatus gergasi, dilaporkan gagal menjelaskan gaji bulan Disember dan Januari setakat ini.

Menurut sumber kepada Arena Metro lagi, kegagalan pihak pengurusan menjelaskan pembayaran gaji mengikut masa yang ditetapkan sememangnya mengejutkan setelah pengurusan aktif membawa masuk ramai muka baharu sebelum ini.

“Sebenarnya isu ini dah beberapa kali berlaku dari tahun lalu lagi. Dua minggu lalu, kalau nak tahu gaji pemain lama untuk bulan November baru dibayar oleh pihak pengurusan,” kata sumber tersebut.

“Tapi gaji bulan Disember dan Januari masih tak dapat lagi. Pemain baharu banyak mengeluh dan mereka rata-rata tak sangka boleh jadi macam ini.

“Bila jadi macam ini, moral pemain pun mula jatuh dan ia tak elok untuk pasukan. Tapi kalau tengok pada persiapan awal, bila gaji tak bayar memang ‘kelakar’ tapi pemain tak berani nak buka mulut,” katanya lagi kepada Arena Metro, semalam.

Selain daripada tunggakan gaji dua bulan, sumber yang sama turut mendedahkan barisan pemain musim lalu turut menuntut bonus kejayaan di saingan Piala Malaysia pada musim lalu.

Untuk rekod, baru-baru ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menghukum PDRM FA dengan potongan tiga mata selepas gagal menjelaskan bayaran gaji pemain dan pegawai pada musim lalu.

Namun dalam sesetengah kes, tidak semua pemain sanggup membuka mulut untuk menjaga periuk nasi masing-masing.

Leave a Reply