Stuart Ramalingam: Buat Aduan Gaji Pada FAM, Bukan Media

Rakyat United

Selepas hanya tiga pasukan sahaja iaitu Melaka United, Kelantan dan PDRM yang disenaraikan sebagai ‘pasukan bermasalah’ oleh FAM kerana mempunyai isu gaji tertunggak, secara tiba-tiba ada beberapa pasukan lain yang didakwa masih berhutang dengan bekas pemain dan pegawai.

Namun demikian, Setiausaha Agung FAM,, Stuart Ramalingam yang ditemubual oleh Harian Metro menegaskan, pihaknya tidak menerima aduan secara rasmi daripada pemain atau pegawai yang terbabit.

“KITA bukan penyiasat, jadi pemain kena datang kepada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan buat aduan jika ada tunggakan gaji,” katanya.

Oleh yang demikian, beliau berharap mana-mana pemain atau pegawai pasukan yang berdepan dengan masalah berkenaan bersikap lebih berani untuk membuat aduan kepada pihaknya supaya pasukan terbabit boleh diambil tindakan yang sewajarnya.

Sebelum ini beberapa pemain veteren seperti Shukor Adan dan Norhafiz Zamani Misbah telah bertindak memperjuangkan hak mereka dengan menyerahkan afidavit kepada FAM. Tindakan tersebut ternyata berkesan apabila berjaya membuat penyelesaian dengan bekas pasukan masing-masing.

“Pemain yang kata tak dapat gaji sepatutnya datang buat aduan kerana kita tak tahu apa masalah yang berlaku.

“Kita tak boleh nak bantu kalau tak ada aduan rasmi daripada pemain. Daripada mereka guna saluran media dengan menggunakan sumber, ia takkan dapat selesaikan masalah.

“Saya harap pemain datang dan kita akan bantu sebagai orang tengah untuk menyelesaikan masalah. Kita akan panggil kedua-dua pihak dan cuba mencari penyelesaian bersama,” katanya lagi.

Kredit Foto: FAM

Leave a Reply