Kombinasi Unik Sasalak & Theerathon Kunci Thailand, Di Malaysia Ada Versi ‘Campuran’ Mereka Menurut Sanrawat

Thailand Sanrawat Dechmitr Theerathon Sasalak Malaysia

Thailand berhasil mara ke final Piala AFF buat kali ke-10 sejak edisi pertama pada 1996 selepas menewaskan Malaysia 3-1 secara agregat dan kali ini ia adalah hasil kombinasi Theerathon Bunmathan dan Sasalak Haiprakhon.

Mungkin semua amat mengenali Theerathon, namun sedikit asing dengan Sasalak waima pemain itu sudah berusia 26 tahun. Bermain di posisi yang sama dengan antara pemain terbaik di negaranya, Sasalak sedikit terpinggir jika Theerathon mendapat panggilan ke skuad Gajah Perang. Begitupun, beliau juga antara bek kiri terbaik di Thai League bersama Buriram United.

Menurut analisis di laman Twitter, The Bolas Stories, kombinasi di sebelah koridor kiri Thailand antara Sasalak dan kapten, Theerathon sangat unik.

Sasalak hasil inisiatif Polking hampir 10 tahun lalu

Pengendali Thailand, Mano Polking amat dekat dengan Sasalak Haiprakhon. Beliau dilahirkan hasil projek projek mega, ‘cp-dreams’ di mana Bangkok United ketika itu menubuhkan beberapa akademi hasil gesaannya yang menurutnya, pemain berkualiti akan mampu dilahirkan jika perkara asas disediakan oleh kelab. Ini yang digerakkannya kira-kira 10 tahun lalu.

Bersama skuad kebangsaan kini, Polking sedang menuai sedikit sebanyak daripada hasil gesaannya terhadap pengurusan kelab pada tahun 2013.

Dan hasil pengurusan kelab yang teratur dan liga yang terbaik, Thailand kini memiliki generasi bola sepak yang memiliki asas bola sepak yang terbaik. Sebagai jurulatih skuad kebangsaan, tugasannya menjadi lebih mudah.

Dengan ketiadaan Chanathip Songkrasin, Polking terpaksa memikirkan kaedah untuk lebih menggerakkan jentera tengahnya. Dan Theerathon adalah pemain yang boleh beraksi di posisi tengah. Jika kedua-duanya beraksi, Thailand dilihat berbahaya kerana menggunakan dua ‘playmaker’ – lawan perlu mengekang dua variasi serangan yang dicipta mereka.

Theerathon Bunmathan: ‘Playmaker’ Ke-2 Thailand Yang Bergerak Di Sebelah Sayap Kiri

Dan Polking dilihat telah menggunakan apa yang diterapkan oleh Buriram dalam menggunakan kedua-dua pemain bek kiri pada masa yang sama.

Theerathon kembali semula ke Buriram selepas dibeli semula daripada kelab yang bersaing di J1-League, Yokohama F. Marinos pada Disember 2021. Kehadirannya ke Thai League dan Buriram memberi petanda yang Sasalak bakal kehilangan posisi yang selesa dipegangnya selama ini.

Kombinasi unik Theerathon & Sasalak

Tetapi, ia tidak berlaku. Buriram meletakkan ‘playmaker’ itu di posisi tengah dan kekalkan Sasalak di bek kiri. Dan skema yang sama berlaku di skuad kebangsaan mereka di Piala AFF kali ini. Jadi, mereka tidak terlihat kekok.

Malah, menurut The Bolas Stories, Theerathon memainkan beberapa peranan dalam satu-satu aksi dan kuncinya, beliau bertukar posisi dengan Sasalak yang tiada masalah beroperasi di koridor sebelah kiri Thailand.

Beliau bermain di posisi bek kiri, bek tengah kiri (jika bertiga) dan pemain tengah sebelah kiri. Penggiliran antaranya dengan Sasalak menyukar lawan untuk menghentikannya dan sebagai pencatur, beliau sangat berbahaya.

Mungkin kurangnya bantuan sokongan Faisal Halim di sebelah kanan sangat membantu untuk Theerathon dan Sasalak bermaharajalela.

Sanrawat Dechmitr: “Dia ni ‘Next’ Theerathon”

Untuk Liga Malaysia, bekas pemain Kedah musim lalu, Sanrawat Dechmitr pernah mengaitkan kedua-dua pemain ini dengan seorang pemain.

Menurut Sanrawat, pemain yang beraksi di posisi bek sayap kiri Kedah itu memiliki permainan seperti Theerathon dengan sedikit campuran Sasalak.

Sanrawat hadir ke Kedah selaku pemain pinjaman dari Bangkok United pada musim lalu dan bermain baik di jentera tengah Sang Kenari. Sebelum ini, Sanrawat merupakan seorang pemain skuad kebangsaan Thailand, namun selepas insiden pada 2019 di Thai League, beliau tidak lagi terlibat dengan tugasan antarabangsa, malah kerap dipinjamkan keluar.

Di Kedah, beliau membina reputasi tersendiri dan amat disenangi oleh pemain-pemain termasuklah di kalangan penyokong skuad Hijau Kuning.

Bercakap kepada dokumentari YouTube dari Thailand, Next Stadium, beliau telah menyamakan Azmeer Aris dengan pemain tersohor Gajah Perang itu.

Menurut Sanrawat yang kali terakhir mewakili skuad kebangsaannya pada 2019, Azmeer Aris saling tak tumpah dengan Theerathon, malah ada lagi perkara lain disebutnya tentang pemain yang kini berusia 23 tahun itu.

“Ini Mer [Azmeer] tetapi saya panggilnya Per. Dia akan mewakili skuad kebangsaan dalam masa tiga tahun lagi, di posisi bek kiri. Dia boleh dikatakan ‘Next’ Theerathon dengan campuran Sasalak [Haiprakhon].”

Sanrawat Dechmitr, Next Stadium Episod 3

Azmeer Aris menyertai Kedah musim ini selepas cemerlang membantu Penang FC membuat kejutan, menduduki tangga ke-3 Liga Super 2021.

Beliau tampil sebanyak 14 kali dalam saingan liga musim 2021 dan ia adalah musim pertamanya dalam saingan tertinggi Liga Malaysia saat itu.

Begitupun, itu bukan posisinya ketika bermula sebagai pemain. Beliau adalah pemain sayap sebelum ditransformasi sebagai bek sayap.

Mempamerkan kelincahan menggerakkan posisi bek sayap di sebelah kiri menarik minat Kedah yang sedikit bergelut untuk mengisi posisi tersebut selepas kehilangan Azmeer Yusof. Beliau terbang ke Kedah bersama tiga lagi rakannya dari Penang untuk saingan musim lalu. Dan beliau meraih lebih banyak minit permainan – 739 minit permainan dalam 13 penampilan.

Begitupun, beliau kini telah kembali ke sarangnya – Penang FC untuk aksi musim 2023. Dan tentunya, perkembangan pemain ini perlu diberikan perhatian. Tambahan pula, Sanrawat mengaitkannya dengan Theerathon!

Theerathon sudah tidak asing dengan permainannya yang penuh magis, malah Sasalak semakin mencuri tumpuan selepas perlawanan berdepan Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dan Stadium Thammasat.

Adakah Azmeer boleh diasuh lagi untuk tampil sehebat Theerathon dan Sasalak di Liga Malaysia? Ia kini terpulang kepada Manzoor Azwira.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN