Pengurus Barcelona, Ronald Koeman mengakui amat sukar buat skuad bimbingannya untuk merebut kejuaraan La Liga musim ini selepas The Blaugrana sekali lagi keciciran mata susulan keputusan seri 1-1 dicatatkan pada pertemuan menentang Eibar, awal pagi tadi.
Aksi di Nou Camp itu menyaksikan Ousmane Dembele menyelamatkan maruah tuan rumah apabila jaringannya pada minit ke-67 memadam kelebihan awal dimiliki skuad kendalian Jose Luis Mendilibar tersebut.
Ia merupakan keputusan seri keempat diraih Barcelona dalam saingan liga setelah sebelum ini mereka diikat Sevilla, Alaves dan Valencia.
Sehubungan dengan itu, Koeman melihat peluang makin sukar buat kelab Catalan itu untuk merebut kejuaraan musim ini di mana pendahulu liga, Atletico Mandrid yang terikat 32 mata dengan Real Madrid masih kekurangan dua perlawanan [hanya beraksi 13 perlawanan].
Manakala, Barcelona yang sudah beraksi 15 perlawanan mencatatkan 25 mata hasil tujuh kemenangan, empat keputusan seri dan empat kekalahan setakat ini.
”Saya seorang yang realistik, ia merupakan sesuatu yang sangat sukar untuk kami bergelar juara.”
”Tiada yang mustahil, tetapi anda harus mengakui jarak mata tersebut,” ujar Koeman menurut laporan Goal.
”Pada pendapat saya, Atletico kelihatan sangat baik, mereka sangat kuat dan mereka juga tidak dibolosi banyak gol.”
Dengan 25 mata yang diraih, Barcelona kini menghuni tangga keenam dan ini merupakan permulaan terburuk dilakarkan kelab tersebut sejak musim 2003.
Ia juga pasti memberikan tekanan buat Koeman setelah beliau mengisi kekosongan ditinggalkan oleh pengendali terdahulu, Quique Setien yang dipecat pada pertengahan Ogos lalu susulan kekalahan memalukan Barcelona di tangan Bayern Munich dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah 2019/20.
Kredit featured image: David S. Bustamante/Soccrates/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Ronald Koeman dan Barcelona:
Ronald Koeman: VAR Hanya Digunakan Untuk ‘Menentang’ Barcelona