Ronald Koeman Nyatakan Persetujuan Bimbing Barcelona

Ronald Koeman

Pengendali skuad kebangsaan Belanda, Ronald Koeman dikatakan telah bersetuju untuk menjadi pengganti kepada Quique Setien yang dipecat daripada tugasan pengurus Barcelona susulan kekalahan memalukan bertemu Bayern Munich tempoh hari.

Koeman merupakan salah seorang daripada calon yang dikaitkan dengan tugasan ini selain daripada Mauricio Pochettino, Xavi Hernandez, Pep Guardiola, Laurent Blanc dan ketua jurulatih skuad Barcelona B, Garcia Pimienta.

Barcelona bagaimanapun bukanlah asing buat Koeman kerana beliau pernah bergelar pemain The Blaugrana selama enam musim [1989/90 hingga 1994/95] dan turut menjawat tugasan penolong pengurus skuad gergasi Sepanyol itu bermula 1998 hingga 2000.

Antara kejayaan manis dikecapi Koeman sewaktu menyarung jersi Barcelona adalah ketika menjuarai La Liga empat musim berturut-turut dan memenangi trofi European Cup 1991/92.

Sekiranya kehadiran Koeman ke Nou Camp berjaya direalisasikan, Barcelona perlu untuk membayar pampasan bagi menebus kontrak pengendali berusia 57 tahun itu bersama skuad kebangsaan Belanda.

Menurut sumber Sky Sports, Barcelona juga dikatakan telah berhubung dengan Persekutuan Bola Sepak Diraja Belanda (KNBV) untuk membincangkan tentang jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh kelab tersebut.

Dalam perkembangan berlainan, Barcelona turut telah mengeluarkan kenyataan rasmi sebaik sahaja mengumumkan berita pemecatan Setien.

”Ini adalah keputusan pertama dalam penyusunan semula struktur pasukan utama yang lebih luas dan akan dipersetujui bersama oleh Setiausaha Teknikal dan pengurus baharu, di mana kita akan membuat pengumuman dalam beberapa hari lagi.”

Selain daripada pemecatan Ernesto Valverde dan Setien, musim ini juga boleh dikatakan kempen yang cukup mendukacitakan buat Barcelona apabila mereka gagal menjulang sebarang piala apabila trofi La Liga terlepas dari dakapan dan tewas pada aksi suku akhir Copa del Rey.

Kredit featured image: Eric Renard / Onze / Icon Sport

Baca artikel lain dari kami mengenai Ronald Koeman:

Leave a Reply