Pada malam 8 Januari 2016 perlawanan NBA antara Los Angeles Lakers menentang Oklahoma City Thunder, Kobe Bryant melakukan sesuatu yang asing dalam sukan bola keranjang – nutmeg assist – yang memalukan Kevin Durant.
Ketika ditanya oleh wartawan bagaimana beliau mendapat idea untuk melorongkan bola melalui celah kaki Durant, lagenda Lakers itu menjawab ringkas:
“Idea itu datang daripada bola sepak. Ya, ia datang daripada zaman saya duduk di Itali.”
Bagaimana bola sepak membantu Kobe Bryant
Bagi peminat sukan bola keranjang dan NBA, anda pasti maklum Bryant pernah duduk di Itali dari tahun 1984 (berumur 6 tahun) hingga 1991. Di Itali, Bryant terlebih dahulu menyepak bola sepak sebelum mengutip bola keranjang. Semuanya berpunca daripada minatnya terhadap AC Milan.
“Saya selalu cakap kalau anda potong tangan kiri saya, darah berwarna merah hitam akan keluar. Jika anda potong tangan kanan saya, ia akan keluar darah kuning dan ungu (merujuk warna Lakers),” kata Bryant.
Di Itali, Bryant bermula sebagai penjaga gol sebelum jurulatih pasukan akar umbinya mengubah ke posisi tengah. Beliau turut bermain bola keranjang pada masa yang sama. Cuma hatinya masih berbelah bahagi antara bola sepak dan bola keranjang.
Hanya apabila keluarganya balik semula ke Philadelphia, barulah Bryant fokus kepada bola keranjang sahaja. “Susah nak keluar dari bola keranjang apabila anda membesar di Philadephia,” katanya.
Tetapi walaupun setelah fokus kepada bola keranjang, DNA bola sepak tidak pernah meninggalkan dirinya. Ia seakan sudah sebati; sehinggakan Bryant membawa masuk sedikit elemen bola sepak dalam permainan bola keranjangnya.
Ini membuatkan Bryant seorang pemain unik. Skil motornya diukir untuk bola keranjang. Tetapi skil kognitifnya diukir untuk bola sepak – membuatkan Bryant dapat membaca permainan bola keranjang tidak sebagaimana pemain lain.
“Selalunya dalam bola keranjang Amerika Syarikat, anda diajar dengan kombinasi satu-dua, pick and roll, give and go dan sebagainya.”
“Bila anda biasa main bola sepak dari kecil, anda boleh nampak permainan bola keranjang dalam kombinasi satu-dua-tiga, kadangkala sehingga empat. Anda belajar macam mana untuk bermain dalam segi tiga,” jelas Bryant.
“Bola sepak melatih mata dan otak saya”
Bryant juga memberi contoh, pendidikan awal bola sepaknya membuatkan beliau mempunyai ‘mata di belakang kepala’ dan sedar pergerakan pemain lawan di belakangnya.
“Anda mula nampak beberapa kombinasi dalam satu-satu masa. Mata dan otak saya dilatih untuk melihat kombinasi-kombinasi 3v2, 4v2 dan sebagainya.”
Nutmeg assist yang memalukan Kevin Durant itu bukanlah pertama kali dilakukan pemenang dua pingat emas Sukan Olimpik ini. Beliau pernah melakukan hantaran sama melalui celah kaki satu lagi lagenda NBA, Kevin Garnett ketika Lakers menentang Minnesota Timberwolves.
Visi hantaran unik ini membolehkan Bryant bukan saja dikenali sebagai pemain ke-3 dalam sejarah untuk menjaringkan rekod 33,000 mata, malah mencatatkan 6,229 assists kepada rakan sepasukannya.
Beliau juga perasan dalam bola sepak, konsep ‘swtching play’ kerap digunakan pasukan untuk menembusi pasukan yang berkampung di kubu sendiri. Konsep ini kemudiannya diadaptasi oleh beliau dalam permainan bola keranjangnya.
“Dengan memindahkan bola dari satu bahagian gelanggang ke bahagian gelanggang yang lain dengan pantas, pasukan anda boleh menembusi pertahanan pasukan lawan. Ini juga asas bola sepak.”
Perlu ada rakan sepasukan yang serasi
Tetapi Kobe Bryant turut memberi amaran, bahawa gerakan ini hanya menjadi jika rakan sepasukannya mempunyai kefahaman yang sama.
Semasa kali terakhir Lakers menjuarai NBA Final pada 2010, Bryant mempunyai bekas rakan sepasukan, Pau Gasol (berasal dari Barcelona) yang memahami konsep taktikal bola sepak untuk diaplikasikan dalam bola keranjang.
Semasa Gasol dan Bryant bermain bersama di Lakers, mereka menjadi duo perancang yang membawa Lakers ke 3 NBA Final, menjuarai 2 daripadanya.
“Memang sukar (untuk mengaplikasikan taktikal bola sepak dalam bola keranjang). Itulah sebab (San Antonio) Spurs mengambil banyak pemain Eropah yang membesar dengan bola sepak,” kata Bryant.
San Antonio Spurs mara ke 2 NBA Finals pada tahun 2013 sebelum menjuarainya pada tahun 2014.
Saksikan aksi-aksi terbaik Kobe Bryant sepanjang 20 tahun kariernya bersama Los Angeles Lakers di NBA. Rest in peace, Black Mamba.